KANGAR: Fenomena air pasang dan ombak bergelora di negeri ini menyaksikan sampah-sarap yang dibawa dari laut, ‘melimpah’ di jalan pesisiran pantai Kuala Sungai Padang, Sanglang di sini, semalam.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan mengenai betapa seriusnya pencemaran laut yang memperlihatkan bagaimana sampah yang dibuang ke laut itu kembali semula ke darat.
Kelazimannya, jika berlaku fenomena air pasang hanya menyebabkan air melimpah mengundang banjir kilat, kini mula menyaksikan limpahan sampah.
Hasil pemerhatian, limpahan sampah di jalan tersebut kebanyakannya plastik dan pelbagai lagi sampah lain sekali gus mencemarkan pemandangan di situ.
Seorang penduduk, Salasiah Hasan, 67, berkata, sampah-sampah terdiri daripada botol plastik dan barangan lain telah dihanyutkan ke kawasan rumahnya di Sungai Belati, Sanglang, di sini, berikutan fenomena air pasang sekitar pukul 12 tengah hari semalam.
“Sampah-sampah itu telah dibawa arus dan melimpah lalu memenuhi ruang jalan raya sehingga ke pintu masuk rumah saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, ancaman atau pencemaran sampah tidak boleh dipandang ringan khususnya di perairan dan pantai negara kerana dikhuatiri bakal menyebabkan hidupan marin terancam sekali gus mengundang kepupusan.
Daripada kajian data dikumpulkan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass) Perlis dari 2019 hingga 2023 berkaitan sampah hanyut itu, dalam tempoh lima tahun sahaja, sebanyak 9,366 kilogram atau 9.3 tan metrik jumlah sampah hanyut khususnya plastik direkodkan di pesisiran pantai Kuala Perlis.
Kajian berkaitan sampah hanyut itu menyaksikan plastik adalah yang terbanyak direkodkan iaitu sebanyak 60 peratus.
Menceritakan lanjut, Salasiah berkata, sampah-sampah berkenaan kebiasaan akan dibawa arus sehingga ke darat sewaktu air pasang atau laut bergelora berikutan tembok di kawasan itu juga rendah dan mudah dinaiki air.
Katanya, bagaimanapun, proses naik taraf bagi meninggikan tembok di kawasan itu sedang berjalan dan dijangka diselesaikan selepas ini.
“Saya juga kebiasaan akan memungut sendiri sampah-sampah ini dan mengumpulkannya di bahagian tepi jalan untuk dilupuskan bagi memudahkan pengguna lalu lintas,” katanya.
Tambahnya, dia sentiasa melakukan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan paras air di kawasan itu meningkat sewaktu fenomena air pasang atau laut bergelora.
“Kami memang siap sedia untuk alihkan perabot atau barangan penting lain sekiranya berlaku kecemasan atau air pasang,” katanya. – UTUSAN










