Hampir setiap hari ada saja kesalahan berkait rasuah dilaporkan dan dipaparkan di dada akhbar dan media massa. Mual dan amat memalukan!
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nazirah Hassan membincangkan kepincangan integriti virus tanpa vaksin ini.
SERI: Adakah budaya masyarakat Melayu yang suka bersedekah dan mengadakan jamuan, menyumbang kepada amalan rasuah dalam setiap perkara dilakukan?
Dr. Nazirah Hassan: Rasuah tidak terkait dengan amalan sedekah. Amalan sedekah berbeza konsepnya dengan rasuah. Manusia yang suka bersedekah memiliki ciri empati, simpati, penyayang dan bertanggungjawab. Sebaliknya, rasuah adalah perbuatan jenayah. Mereka yang memberi dan menerima rasuah dicirikan oleh sikap tidak berganggungjawab dan ketiadaan empati.
Kajian menunjukkan rasuah berkait rapat dengan kakitangan awam, adakah ia berpunca daripada gaji sikit hingga terpaksa mengambil ‘duit tepi’?
Kakitangan awam selalu dikaitkan dengan rasuah kerana penjawat awam terutamanya penguatkuasa terdedah dan berisiko untuk terlibat dengan jenayah ini.
Peluang diberi suapan adalah besar kerana sesetengah kumpulan penjawat awam mempunyai kuasa dan sangat berpengaruh sebagai pembuatan keputusan dengan membelakangi undang-undang.
Contonya menerima suapan untuk memberi tender kepada individu tertentu atau menerima suapan untuk penukaran jabatan. Begitupun rata-rata kajian di Asia Tenggara bersetuju bahawa gaji yang rendah mempunyai perkaitan dengan keterlibatan penjawat awam dalam rasuah.
Gaji sikit berkait rapat dengan tekanan kewangan dan kos sara hidup yang tinggi, di mana ia mendorong individu mengambil peluang dan mencari peluang untuk menerima rasuah.
Rasuah adalah cara mudah mendapatkan wang dan selain daripada menerima, segelintir penjawat awam yang tidak bertanggungajwab bertindak mendesak pihak tertentu untuk memberi suapan kepada mereka.
Sebagai contoh, menerima suapan menghapuskan atau menyembunyikan kesalahan dilakukan. Hal ini didorong oleh sikap tamak dan desakan dapat wang dengan mudah.
Undang-undang rasuah tidak ada taring, sebab itu rasuah masih berleluasa. Komen?
Malaysia ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Akta 694. Akta ini cukup lengkap untuk memberi respon terhadap salah laku rasuah, membendung dan menangani jenayah ini.
Mungkin ada kelemahan dari aspek pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan. Kelemahan ini mungkin disebabkan oleh pembabitan pihak atasan atau campurtangan ahli politik.
Pembabitan pihak atasan atau mereka yang lebih berkuasa merancakkan lagi kegiatan rasuah dan situasi ini memberi desakan atau dorongan kepada subordinat untuk turut berkompromi (sama ada bersetuju atau tidak) untuk terbuka menerima budaya rasuah dalam jabatan.
Ada segelintirnya merasa terancam dengan situasi ini, di mana mereka takut sekiranya kedudukan mereka di jabatan diancam dan memberi kesan kepada privileges (keistimewaan) yang diperolehi seperti bimbang ditukarkan jabatan atau negeri dan tidak dinaikkan pangkat.
Tidak dapat dinafikan, kegiatan rasuah terbesar di mana-mana negara sekalipun dipercayai ada membabitkan ahli politik. Segelintir anggota penguatkuasa terpaksa akur atau ‘menutup mata’ dengan desakan sekiranya ia membabitkan kes-kes tertentu yang ada kepentingan untuk mereka.
Apakah rasuah ini suatu bentuk ketagihan? Bagaimana menanganinya?
Ketagihan rasuah boleh dikaitkan dengan amalan gaya hidup mewah. Perkara ini boleh timbul bermula daripada tekanan kewangan berikutan kos sara hidup yang tinggi dan beban hutang, terutama dalam kalangan mereka yang bertugas di bandar-bandar besar.
Setelah beberapa kali menerima suapan, mereka mula mengamalkan gaya hidup mewah serta tabiat gemar melakukan aktiviti yang mendorong kepada pembaziran seperti berjudi atau berhibur.
Selepas itu, wujud pula tekanan baharu iaitu tekanan untuk mengekalkan ‘kehidupan mewah’ itu dan ini meningkatkan pula pemikiran materialistik.
Pemikiran materialistik ini wujud akibat tekanan orang sekeliling seperti keluarga, rakan-rakan dan liputan media serta perasaan takut dihimpit tekanan kewangan seperti takut hidup susah dan dibebani berhutang.
Pemilihan gaya hidup mewah dipengaruhi oleh keperluan dan untuk kepuasan diri sendiri. Kajian membuktikan gaya hidup mewah dan hiburan meningkatkan kepuasan dalam kehidupan, mengurangkan risiko tekanan dan menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mental.
Namun, amalan ini turut dipengaruh oleh keluarga dan rakan-rakan. Peningkatan dalam perbelanjaan untuk menampung keluarga dan perasaan malu kelihatan susah turut mendorong mereka untuk terus menerima rasuah. Wang suapan seolah-olah menjadi sumber pendapatan bagi individu yang terbabit dengan perbuatan itu.










