KOTA BHARU: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengalami kecederaan selepas dipukul di sebuah premis di Sungai Golok, Thailand pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan parah pada kepala.
Menurut sumber, mangsa telah dibantu oleh orang awam sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.
“Mangsa merupakan seorang anggota PGA yang bertugas di Tumpat dan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok sebelum diserahkan kepada pasukan PGA di Rantau Panjang.
“Anggota terbabit kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan meminta pihak media mendapatkan maklumat terperinci daripada PGA.
“Kes ini berlaku di luar sempadan negara dan kita hanya dapat tahu kejadian tersebut daripada PGA.
“Saya akui kes itu memang ada dan tindakan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JPS) sedang dijalankan,” katanya.-UTUSAN











