PRK Mahkota: UMNO Johor siap sedia hadapi lawan - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: UMNO Johor siap sedia hadapi lawan

AHMAD Maslan (tengah) bermesra dengan keluarga Hamsan Tukiman ketika Program Ziarah kasih di Kampung Parit Madirono, Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri ini sudah siap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kluang pada 28 September depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jentera pilihan raya UMNO dan BN akan mula  digerakkan usai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu ini.

Katanya, gerak kerja awal perlu dilakukan memandangkan DUN Mahkota mempunyai bilangan pengundi yang ramai, iaitu 66,318 orang dengan 29 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“DUN Mahkota kawasannya  tidak luas tetapi pengundinya ramai  bagi memastikan jentera pilihan raya dapat menemui seberapa ramai pengundi sebelum hari pengundian.

“Dengan pelantikan Pengarah PRK DUN Mahkota, Timbalan Pengarah, Pengarah Operasi dan Timbalan Pengarah Operasi serta Pengerusi ‘War Room’ oleh Presiden UMNO, kami telah bersiap sedia untuk bertempur,” katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih di Kampung Parit Madirono, Benut, dekat sini malam tadi.

Baru-baru ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  melantik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi  sebagai Pengarah PRK DUN Mahkota dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai timbalannya, manakala Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday sebagai Pengarah Operasi dan Zainal Mohamad sebagai timbalannya serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi ‘War Room”.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menambah, semua 25 buah Bahagian UMNO Johor akan diberikan peranan sebagai bapa angkat kepada 29 PDM tersebut.

“Gerak kerja sama seperti dilakukan di Nenggiri sebelum ini bagi mendekati seberapa ramai pengundi yang ada di setiap PDM, mengenal pasti masalah dan jalan penyelesaian sebaik mungkin,” katanya.

Sebelum ini  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×