KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan ada sindiket dadah di negeri ini yang dikesan berselindung di sebalik perniagaan lain bagi mengelak aktiviti haram itu dikesan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sindiket yang berada di belakang tabir itu bertindak penaja yang mengeluarkan sumber kewangan, malah kebanyakan menggunakan khidmat ‘transporter’ untuk segala urusan dan transaksi berkaitan dadah.
“Mereka ini tidak terlibat dengan sebarang transaksi atau pengedaran dadah tetapi hanya menjadi individu yang berada di belakang tabir kegiatan penyeludupan.
“Sindiket ini bertindak sebagai penaja dan mencari rantaian perhubungan untuk mengedarkan barang (dadah), tetapi untuk membawa itu (dadah) tidak kerana dia akan menggunakan orang lain,”katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, beliau enggan menyebut jumlah kes yang terlibat dalam aktiviti berkenaan namun berdasarkan hasil tangkapan yang dibuat mendapati terdapat sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan lain.
Katanya, sindiket pengedaran dadah ini tidak hanya berlaku di Kelantan sahaja sebaliknya di negeri-negeri lain juga sama.
“Kalau kita ingin menangkap sindiket ini bersama dengan dadah adalah sukar dan oleh sebab itu kita perlu mengambil tindakan bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) termasuk menjalinkan kerjasama dengan orang awam serta pemimpin di peringkat bawah untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan tersebut.
“Pendekatan ini perlu ditekankan bagi memastikan Kelantan tidak lagi disebut sebagai tempat untuk kegiatan pengedaran dadah dan kita mensasarkan seramai 150 tangkapan dibuat menerusi LLPK tahun ini dan setakat ini kita sudah mencapai 60 peratus,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, tangkapan berkaitan kes dadah pada tahun ini meningkat sebanyak 72.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Tahun lalu, seramai 10,264 tangkapan dilakukan, manakala tahun ini 17,796 tangkapan dibuat dari Januari sehingga Julai.
“Peningkatan itu susulan tindakan terancang yang diambil pihak polis selain mengambil kira perkembangan semasa Kelantan berada di negeri bersempadan,” katanya.-UTUSAN








