LOS ANGELES: Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, Jennifer Lopez, 55, akhirnya memfailkan perceraian terhadap suaminya, Ben Affleck, 52.
Lapor portal Variety, permohonan itu difailkan pada semalam di Mahkamah Tinggi Los Angeles, di sini.
Bahkan Lopez memfailkan perceraian tersebut tanpa diwakili peguam.
Berdasarkan dokumen, bekas pasangan suami isteri itu secara rasmi berpisah pada April tahun ini.
Perceraian itu berlaku tanpa sebarang tuntutan daripada kedua pihak.
Terdahulu, Lopez dan Affleck mendirikan rumah tangga pada 16 Julai, dua tahun lepas.
Bekas pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.
Kedua bintang ternama itu pernah mengikat tali pertunangan pada tahun 2002 sebelum berpisah pada 2004.
Lopez atau dikenali sebagai Jlo sebelum ini pernah berkahwin dengan pelayan restoran, Ojani Noa pada 1997, namun berpisah pada tahun 1998.
Penyanyi dan pelakon itu juga pernah mengahwini penarinya, Cris Judd pada tahun 2001. Rumah tangga mereka bagaimanapun hanya bertahan selama sembilan bulan.
Lopez pada 2004 sah bergelar isteri kepada penyanyi Mark Anthony dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan cahaya mata kembar, Emme Maribel Muniz dan Max Muniz.
Lopez dan Mark bagaimanapun berpisah pada tahun 2014.
Sementara itu, Affleck sebelum ini pernah bergelar suami kepada pelakon Jennifer Garner selama 14 tahun sebelum bercerai pada 2018. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Violet Affleck.











