Lima rumah banjir akibat air pasang besar - Utusan Malaysia

Lima rumah banjir akibat air pasang besar

PENDUDUK berusaha mengeluarkan air laut yang memasuki rumah mereka akibat air pasang besar di Kampung Kuala Dulang Besar, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Fenomena air pasang besar di Kampung Kuala Dulang Besar, di sini tengah hari tadi mengakibatkan lima buah rumah berhampiran dimasuki air.

Penduduk, Suhaimi Ahmad, 57, berkata, fenomena kali ini disifatkan agak luar biasa dan menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barang akibat berlaku terlalu pantas.

“Ketika kejadian saya bersama isteri sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan bunyi ombak kuat. Dalam masa 10 minit, air laut dan lumpur masuk ke dalam rumah. Kami bergegas keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, ia merupakan kejadian banjir kilat paling teruk akibat air pasang besar sejak menetap di kawasan tersebut kira-kira 20 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Fazam Abdul Rahim, 33, berkata, rumahnya berada di kawasan agak tinggi menyebabkan air sukar masuk, namun fenomena kali ini juga dianggap luar biasa.

“Ketika kejadian, saya dan isteri berada di luar selepas berasa tidak sedap hati melihat paras air laut yang pasang dan semakin menghampiri rumah.

“Biasanya air pasang besar itu tidak melepasi benteng batu yang terletak di belakang rumah, tetapi kali ini ia menyebabkan banjir kilat,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Lt.(PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1 tengah hari dan sebanyak lima buah rumah dilanda banjir kilat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×