CRESS: Kerajaan perhalusi caj akses grid elektrik

CRESS: Kerajaan perhalusi caj akses grid elektrik

FADILLAH Yusof pada Sidang Kemuncak Tenaga Mampan Antarabangsa (ISES) 2024 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memuktamadkan caj untuk akses pihak ketiga ke grid elektrik Malaysia di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan pada 22 Ogos.

“Sesi ini akan melibatkan pemain industri, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul maklum balas sebelum membuat keputusan mengenai caj tersebut.

“Konsep ini membolehkan penjanaan elektrik yang boleh dijual terus kepada pelanggan anda sendiri, tetapi penggunaan talian transmisi sedia ada yang dimiliki oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan dikenakan caj kecil, mirip kepada tol.

“Jumlah caj ini masih belum diputuskan sehingga kami menerima maklum balas daripada semua pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak Tenaga Mampan Antarabangsa (ISES) 2024 di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau menyatakan beberapa fokus utama Malaysia termasuk komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

Beliau berkata, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program,termasuk pengenalan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). 

“Sasaran Malaysia adalah untuk memastikan 40 peratus daripada bekalan tenaga negara adalah tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 dan meningkat kepada 70 peratus menjelang 2050. 

“Pada masa ini, hanya 26 peratus tenaga dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui.

“Antara langkah yang diambil termasuk melancarkan pelbagai program seperti solar berskala besar (LSS) melalui tender terbuka serta membuka tender untuk penghasilan tenaga melalui biogas, biomass, dan mini hidro dengan kapasiti 190 megawatt (MW),” katanya.

Tambahnya, pengurangan penggunaan arang batu yang akan dimulakan secara berperingkat menjelang 2030 dan dijangka berakhir sepenuhnya pada 2045.

“Selain itu, kerajaan juga dalam usaha mempercepatkan pembangunan stesen pengecasan kereta elektrik (EV) di seluruh negara, termasuk di luar bandar dan bandar-bandar kecil. 

“Kerajaan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk anak syarikat Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat-syarikat swasta untuk memastikan kemudahan pengecasan EV yang mencukupi di seluruh negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×