Kapal persiaran mewah berlabuh setiap Isnin di Melaka

Kapal persiaran mewah berlabuh setiap Isnin di Melaka

AB. RAUF Yusoh mengadakan perbincangan dengan Michael Goh di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 200,000 pelancong antarabangsa dijangka melawat Melaka menerusi persinggahan kapal persiaran mewah, Genting Dream Cruises bermula 11 November ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setiap Isnin kapal dengan muatan penumpang antara 2,000 hingga 3,000 orang itu akan singgah dan berlabuh selama 52 minggu bagi menikmati pakej pelancongan disediakan.

Ujarnya, persinggahan 12 jam bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam membolehkan setiap penumpang melawat ke seluruh kawasan tarikan pelancong sekitar Banda Hilir di sini seperti Jonker Walk, Bangunan Stadthuys dan sebagainya.

“Ini sebenarnya akan memberi kesan kepada sektor ekonomi pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 bermula 11 November ini.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan keputusan Resorts World Cruises memilih Melaka sebagai salah satu destinasi persinggahan kepada pelancong antarabangsa yang menaiki kapal persiaran mewah ini.

“Setiap Isnin peniaga dan pemain industri pelancongan di Melaka akan menerima kehadiran antara 2,000 hingga 3,000 pelancong dari kapal persiaran ini kerana mereka akan dibawa ke sekitar Banda Hilir,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Resorts World Cruises, Michael Goh di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, kapal persiaran mewah itu bakal berlabuh tidak jauh dari muara Sungai Melaka sebelum semua pelancong dibawa menaiki bot yang disediakan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Kota Laksamana.

Sementara itu Michael berkata, pemilihan Melaka sebagai salah satu destinasi persinggahan kapal persiaran itu adalah amat bersesuaian dengan pakej laluan Singapura-Melaka.

“Pelancong antarabangsa kami akan berpeluang melihat keindahan Melaka kerana setiap orang tahu Melaka sebagai tumpuan pelancongan paling menarik di dunia, terutama sajian peranakan dan sajian lain terdapat di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×