Scotland gantung pertemuan dengan Israel hingga konflik tamat

Scotland gantung pertemuan dengan Israel hingga konflik tamat

MASYARAKAT antarabangsa sewajarnya meneruskan tekanan kepada Israel untuk menghentikan semua jenayahnya di Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EDINBURGH: Kerajaan Scotland mengumumkan menggantung semua pertemuan dengan duta Israel sehingga kemajuan sebenar dicapai ke arah keamanan dan akses bantuan kemanusiaan tanpa had di Gaza.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri, Angus Robertson berkata, kerajaan Scotland tidak akan menerima sebarang jemputan untuk pertemuan selanjutnya dengan Israel sehingga terdapat kemajuan sebenar dalam konflik Gaza.

“Ini akan kekal sebagai pendirian kami sehingga kemajuan sebenar dicapai ke arah keamanan, akses tanpa had kepada bantuan kemanusiaan dan Israel bekerjasama dengan tuntutan antarabangsa berkaitan siasatan genosid serta jenayah perang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Keputusan dibuat selepas pertemuan baru-baru ini antara Robertson dan Timbalan Duta Israel ke United Kingdom (UK), Daniela Grudsky, kira-kira dua minggu lalu, yang mencetuskan kritikan dalam Parti Nasional Scotland (SNP).

Robertson mendakwa, memandangkan Grudsky meminta pertemuan tersebut, ia adalah peluang untuk menyatakan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi kerajaan Scotland mengenai keperluan gencatan senjata di Gaza.

“Tiada siapa yang berniat supaya pertemuan ini dilihat sebagai menghalalkan tindakan kerajaan Israel di Gaza.

“Kerajaan Scotland konsisten mengutuk kekejaman di wilayah Palestin itu,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan pertemuan itu sebagai tanda normalisasi antara Israel dan Scotland, sebaliknya menegaskan bahawa agenda perbincangan hanya terhadap kepada gesaan gencatan senjata di Gaza.

“Kerajaan Scotland tidak menyokong sebarang normalisasi hubungan dengan kerajaan Israel dalam tempoh ini.

“Kita tidak akan berundur dalam menyuarakan sokongan untuk gencatan senjata segera di Gaza, pembebasan semua tebusan, mengakhiri penghantaran senjata dari UK ke Israel dan mengiktiraf negara Palestin dalam perjanjian penyelesaian dua negara,” katanya.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×