KUANTAN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini perlu menyatakan pendirian masing-masing berhubung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh tentang kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Speakar Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pendirian itu boleh dinyatakan secara individu ataupun mewakili parti masing-masing.
“Semua ahli yang berhormat di negeri ini perlu menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut kerana baginda Sultan Pahang merupakan sebahagian daripada Dewan Perundangan Negeri ini.
“Selain itu, ia melibatkan airmuka dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi kenyataannya menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Hassanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Sebanyak 30 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan Muhyiddin berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, bekas Perdana Menteri itu akan diambil keterangan esok di pejabat beliau di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). – UTUSAN










