Najib tidak pernah salah guna kedudukan di AmBank – Peguam

Najib tidak pernah salah guna kedudukan di AmBank – Peguam

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Najib tidak pernah lihat atau pergi ke Ambank, jadi bagaimana beliau dituduh melakukan salah guna kedudukan di bank berkenaan.”

Itu hujah peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari pertama hujahan di akhir pendakwaan kes penyelewengan dana RM2.28 juta milik 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut peguam itu, tiada bukti menunjukkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berada di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan di antara 24 Februari dan 14 Jun 2011 sebagaimana dinyatakan dalam pertuduhan pertama terhadap Najib.

Oleh itu, dihujahkan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan Najib telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

“Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mereka menunjukkan bahawa Najib menerima wang ketika berada di AmBank. Mereka menyatakan me­nerima suapan itu merupakan satu kesalahan tetapi anak guam saya menyatakan beliau tidak pernah berada di bank berkenaan. Ia betul-betul mengelirukan,” kata Muhammad Shafee.

Oleh itu, pendakwaan gagal menunjukkan sama ada secara tersurat mahupun tersirat wujud tanggapan Najib menyalahgunakan pejabatnya atau kedudukannya untuk kepuasan diri sendiri mengikut Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan pertama Najib menyatakan di antara 24 Februari dan 14 Jun 2011, di Am­lslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini sebagai seorang Pegawai Badan Awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi diri kamu sendiri berjumlah RM60,629,839.43 de­ngan cara mengambil tindakan seperti berikut, iaitu:

i. Pada 1 April 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, melalui Memorandum daripada Menteri Kewangan No. 216/2639/2009 kamu telah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri supaya Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) bagi membolehkan TIA mendapat pinjaman sehingga RM5 Bilion daripada pasaran domestik dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes Programme;

ii. Pada 29 Julai 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, setelah kamu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009, kamu telah memutuskan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA dan selanjutnya, kamu telah menyebabkan nama TIA ditukarkan kepada 1MDB, yang mengenainya kamu mempunyai kepentingan secara langsung;

iii. Pada 26 September 2009, kamu mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang sedang mengadakan Mesyuarat Khas di The Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya, Selangor, untuk meluluskan satu Resolusi membenarkan 1MDB menyertai satu usahasama bersama PetroSaudi International Limited dengan membuat pelaburan ke dalam modal 1MDB PetroSaudi Limi­ted melalui pembelian sebanyak 1,000,000,000 saham biasa di dalam 1MDB PetroSaudi Limited pada harga AS$1 setiap saham untuk jumlah balasan keseluruhan AS$1 Bilion (atau dengan nilai yang bersamaan dalam RM); dan

iv. Pada 16 Mei 2011, di Pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kamu telah menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan satu Circular Resolution yang membenarkan satu pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion (atau de­ngan nilai yang bersamaan dalam Amerika Syarikat Dolar) di bawah Murabaha Financing Agreement bertarikh 31 Mac 2010 dibuat di dalam 1MDB Petro Saudi Limited.

Merujuk kepada empat tindakan yang dikatakan dilakukan oleh Najib dalam mendapatkan suapan tersebut, Muhammad Shafee menyatakan setiap tindakan tersebut sepatutnya dijadikan pertuduhan tersendiri.

“Kanun Tatacara Jenayah tidak pernah membayangkan atau mengenalpasti pertuduhan kecil (sub-charges) di bawah tuduhan utama (umbrella charge). Sebaliknya Kanun Tatacara Jenayah secara jelas menghalang sebarang pertuduhan yang bertindih, pertuduhan yang menyatakan kesalahan yang berbeza dalam satu pertuduhan.

“Keempat-empat kesalahan yang dikatakan dilakukan dan berselindung di sebalik pertuduhan pertama adalah jelas menunjukkan larangan yang dinyatakan dalam Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah,”kata Muhammad Shafee.

Najib turut menghadapi tiga pertuduhan salah guna kedudukannya mendapatkan suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Hujahan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×