Azlan Man tempah percutian keluarga diurus kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Azlan Man tempah percutian keluarga diurus kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pernah menempah percutian keluarga ke London yang diuruskan oleh kerajaan negeri melibatkan kos melebihi RM687,000 untuk tiga tahun berturut-turut.

Fazilah Jelani, 47, berkata, bagaimanapun Azlan membatalkan ketiga-tiga tempahan masing-masing pada 2013, 2014 dan 2015 dan menerima bayaran balik sebanyak RM629,395.30 selepas ditolak caj yuran pembatalan.

Saksi pendakwaan kelima berkata, tempahan pakej percutian itu termasuk tiket penerbangan dan penginapan, diuruskan oleh syarikat pelancongan, Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. (SKTT) yang juga majikannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Fazilah yang juga pembantu akaun di syarikat berkenaan, sebut harga bagi tiket penerbangan ke United Kingdom dan hotel
penginapan dibuat atas nama Setiausaha Sulit Kanan Azlan.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari keempat perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Fazilah turut dirujuk dengan invois syarikat bertarikh 11 Disember 2013 yang diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berjumlah RM230,230 bagi kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London di antara 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014.

Saksi juga dirujuk dengan sebut harga berjumlah RM216,260 atas nama Azlan dan ahli keluarga antaranya bagi tambang kelas pertama untuk dua orang berjumlah RM90,820 serta hotel penginapan selama sembilan malam di London pada tarikh 17 Disember hingga 26 Disember 2014.

Ujar Fazilah, Kerajaan Negeri Perlis melalui Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar kemudian menghantar pesanan kerajaan bertarikh 5 Februari 2014 kepada majikannya bagi menempah pakej percutian ke destinasi itu, namun tidak dinyatakan tarikh sebenar percutian.

Saksi kemudian mengesahkan nota kredit syarikat pelancongan itu bertarikh 5 Januari 2015 iaitu pembayaran balik sebanyak RM196,651 selepas Azlan membatalkan tempahan pakej percutian.

Fazilah juga mengesahkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan hotel penginapan untuk Azlan dan keluarganya berjumlah RM241,295.40 bertarikh 26 November 2015.

Ujarnya, pakej 12 hari 11 malam itu kemudian dibatalkan manakala wang RM224,404.40 (ditolak caj yuran pembatalan RM16,891) dipulangkan kepada Azlan.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat mengenai pembatalan tempahan dan bayaran balik kepada Azlan, Fazilah berkata selepas menerima pesanan daripada kerajaan negeri Perlis dan bayaran telah dibuat, kerajaan sepatutnya memberikan salinan pasport bagi tujuan tempahan tiket penerbangan serta hotel penginapan.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan Azlan mahu membatalkan tempahan dan meminta bayaran balik.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Azlan turut didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Februari 2014 dan Dis 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung lusa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×