KULIM: Pekebun yang ditahan reman susulan kematian dua beradik termakan keropok mengandungi racun tikus, Julai lalu mendakwa dia memuat naik video di media sosialnya demi membersihkan nama.
Uzair Shafawi Hasbullah, 34, berkata, dia sedih apabila dikecam pelbagai pihak selain mendakwa menjadi mangsa fitnah ekoran kejadian menimpa kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu.
Dakwanya, terdapat banyak keropok yang dicampur racun digantung berdekatan kebun lain dan ladang kelapa sawit berhampiran kebunnya ketika kejadian itu.
“Saya rasa tidak logik apabila keropok yang didakwa oleh ahli keluarga mangsa itu diambil dari kawasan pagar kebun saya kerana kedudukannya dalam semak dan di tempat tinggi, memang tak boleh dicapai oleh kanak-kanak yang berusia empat tahun pun.
“Memang saya ada letak lima bungkusan keropok di kawasan yang sering menjadi laluan monyet, tiga daripadanya hilang setelah diambil binatang liar itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Ubi, hari ini.
Dakwa Uzair Shafawi, dua bungkusan keropok yang diikat dengan benang itu masih ada di hujung pagar di kawasan hutan berhampiran kebunnya dan tidak terusik.
“Ada kesan bungkusan keropok yang sudah dipecahkan oleh monyet dan ada bangkai haiwan itu beberapa meter di dalam parit berhampiran kebun saya yang dipercayai termakan keropok itu. Saya tak pasti bagaimana keluarga mangsa dakwa keropok itu diambil oleh mangsa,” katanya.
Uzair Shafawi berkata, dia sedang tidur ketika kejadian selepas semalaman berjaga kerana bimbangkan lembunya yang dikhuatiri dicuri dan tidak tahu insiden sebenar menimpa dua beradik itu.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarganya yang baru pulang menghantar kedua-dua mangsa ke Klinik Kesihatan Malau.
“Selepas seorang daripada mereka meninggal dunia, saya dihubungi polis sebelum ditahan ketika berada di rumah ibu mertua di Lubuk Buntar. Saya beri kerjasama baik kepada polis kerana faham tugas dan tanggungjawab mereka.
“Cuma saya berasa hairan kenapa saya sahaja yang dikenakan tindakan, sedangkan pihak sana (keluarga mangsa) boleh juga dikenakan tindakan sama, biarlah adil,” katanya.
Menurutnya, dia trauma sejak ditahan reman selama lapan hari dan masih tertanya-tanya mengapa dikenakan tindakan sedemikian, namun mengangap semua itu adalah suratan takdir.
Katanya lagi, kini setiap malam dia terbayang wajah kanak-kanak terbabit dan amat bersimpati dengan nasib menimpa mereka kerana usia mereka sama dengan dua anaknya.
“Saya tidak lagi guna racun pada makanan bagi menjaga tanaman, sebaliknya guna sebuah sangkar yang diberi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Negara (Perhilitan) untuk memerangkap monyet,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas kritikal akibat termakan keropok beracun itu dan selang dua hari kemudian, adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, pula meninggal dunia di hospital sama. -UTUSAN











