KUBANG PASU: Kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah secara jelas menunjukkan pandangan baginda mengenai elemen hasutan yang mungkin terdapat dalam ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau percaya bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sedia memberi kerjasama terhadap siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.
“Saya baru baca kenyataan baginda tadi dan ada satu perenggan khusus yang mana Tuanku bertitah supaya pihak polis menyegerakan siasatan.
“Itu terang-terang pada pandangan baginda, mempunyai elemen hasutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Kedah di Jitra, hari ini.
Semalam, Tengku Mahkota Pahang terkilan terhadap tindakan Muhyiddin yang didakwa secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Hassanal bertitah, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Sementara itu, ujar Saifuddin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa polis telah menetapkan tarikh untuk memanggil Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa terdekat untuk diambil keterangan. -UTUSAN











