DHAKA: Ketua kerajaan sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus berjanji akan menyokong pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di negara itu dalam ucapan dasar pertamanya sejak beliau dilantik ke jawatan itu pada awal bulan ini.
Beliau berkata demikian di hadapan diplomat dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad, di mana beliau berjanji bahawa kerajaannya akan terus menyokong jutaan penduduk Rohingya yang berlindung di Bangladesh.
“Kami memerlukan usaha berterusan masyarakat antarabangsa untuk operasi kemanusiaan Rohingnya dn akhirnya mereka dihantar pulang ke tanah air mereka (Myanmar) dengan keselamatan, maruah dan hak penuh,” katanya.
Bangladesh menjadi tempat tinggal kepada sejuta penduduk Rohingnya di mana kebanyakan daripada mereka melarikan diri dari negara jiran, Myanmar selepas pembantaian terhadap kaum tersebut oleh tentera junta yang kini menjadi subjek penyiasatan pembunuhan beramai-ramai oleh Mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Awal bulan ini, sebuah badan amal perubatan, Doctors without Borders berkata terdapat lebih ramai penduduk Rohingnya yang tiba di Bangladesh dari Myanmar mengalami kecederaan akibat konflik yang berlanjutan antara pihak junta dan tentera pemberontakan Arakan di barat negeri Rakhine.
Katanya lagi dalam satu kenyataan, terdapat lebih 40 peratus daripada mereka yang mengalami kecederaan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Muhammad Yunus, 85 tahun, merupakan seorang ahli ekonomi dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan yang dipilih bagi mengetuai kerajaan sementara, susulan perletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina selepas penunjuk perasaan mendesaknya untuk berundur.
Sheikh Hasina, 76, merupakan Perdana Menteri Bangladesh yang sudah berkhidmat selama 15 tahun melarikan diri dari negara itu pada 5 Ogos dengan helikopter selepas dijatuhkan oleh protes anti kerajaan.
Sementara itu, Muhammad Yunus memuji ratusan ribu pelajar dan orang yang gagah berani untuk bangkit menentang pemerintahan diktator kejam Sheikh Hasina dan berjanji akan menyiasat kematian mereka.
Sebanyak 450 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar terbunuh dalam rusuhan sehingga membuatkan protes jalanan bertukar menjadi rusuhan sehingga membawa kepada perletakan jawatan Sheikh Hasina.- AGENSI










