KUALA LUMPUR : Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan seorang pengguna media sosial supaya menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ia susulan komen yang dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook dengan menggunakan nama ‘samdoria’ yang menulis ‘Respect lagi Tan Sri Muhyiddin’ ketika mengulas hantaran Facebook Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meluahkan rasa kecewa dengan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
“Tolong respek (hormat) suami saya raja saya,” balas Tunku Azizah Aminah terhadap komen berkenaan.
Muhyiddin ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Dakwa Muhyiddin, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.
Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
Susulan itu, Wan Rosdy menggesa pihak berkuasa supaya segera bertindak ke atas Muhyiddin yang didakwa biadap terhadap Sultan Pahang.










