Merdeka hari paling dinanti

Merdeka hari paling dinanti

Hasni Saad memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri dengan dibantu ahli keluarga serta jiran tetangga di kawasan rumahnya di Pekan Darat, Permatang Binjai, Butterworth baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pesara tentera dari Pekan Darat, Permatang Binjai di sini memasang hajat untuk memasang lebih 2,000 Jalur Gemilang di kawasan kediamannya sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 pada 31 Ogos ini.

Hasni Saad, 59, berkata, setakat ini, jumlah Jalur Gemilang pelbagai saiz yang sudha dipasang mencecah 700 helai termasuk bendera negeri-negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

“Untuk pengetahuan, aktiviti ini (pasang bendera) setiap tahun saya buat. Anak menantu, adik beradik serta teman rapat turut membantu memasang dan menghias (bendera) di segenap halaman rumah kami.

“Memang seronok sebab kita hendak tunjukkan kepada gene­rasi sekarang bahawa penting­nya menyemai perasaan cintakan negara. Bukan semata-mata kibar Jalur Gemilang, sebalik­nya, pengisian di sebalik Hari Kebangsaan itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.

HELAI

Ditanya kos perbelanjaan untuk menghias rumahnya de­ngan ratusan helai bendera, bapa kepada sembilan orang anak itu berkata, jumlah tersebut tidak penting kerana perasaan teruja untuk menyambut kedatangan tarikh keramat itu mengatasi segala-galanya.

“Kos (membeli bendera dan alatan memasang bendera) saya tidak mahu ceritakan. Apa yang penting ialah kepuasan dan kete­rujaan untuk menyambut Hari Kebangsaan itu sendiri kerana saya lihat perpaduan dalam kalangan rakyat semakin terhakis disebabkan oleh pelbagai faktor semasa termasuk landskap pergolakan politik di negara kita yang saya sifatkan kini tidak begitu stabil.

“Malah, sebagai orang lama yang terlibat dalam komuniti setempat, saya rasakan agensi kerajaan mahupun persendirian perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memberikan penghayatan kepada masyarakat mengenai pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara termasuklah orang dulu-dulu yang bersusah payah untuk mempertahankan serta membebaskan tanah air kita daripada cengkaman penjajah,” katanya.

Sementara itu, menantunya, Mohd. Ashraf Shamsu Anuar, 27, menyifatkan bapa mentuanya itu amat gemar melakukan aktiviti keramaian melibatkan ke­luarga dan penduduk setempat di kediamannya setiap kali ada­nya sambutan hari-hari tertentu, lebih-lebih lagi Hari Kebangsaan.

“Ayah (nama panggilan kepada Hasni) memang suka menjamu orang makan. Itu sifat dia sejak dulu lagi.

Malah, setiap kali menjelang apa sahaja sambutan sama ada hari perayaan atau Hari Kebangsaan, pasti ayah akan menganjurkan aktiviti makan-makan bersama kami anak beranak dan jiran tetangga.

“Meskipun ayah hanya me­lakukan kerja-kerja kampung sahaja ketika ini, namun, jiwa­nya besar. Kami sebaliknya berbangga mempunyai ahli keluarga sepertinya yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi terhadap negara,” kata Mohd. Ashraf.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×