DUNIA seni tanah air menyaksikan kemunculan ramai artis serba boleh yang bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, malah pengacaraan dan lakonan.
Antara bakat versatil yang pada satu masa lalu pernah meniti zaman kegemilangan adalah Farouk Hussain, 57, yang usianya sebagai anak seni sudah pun menginjak 30 tahun.
Bertitik tolak dengan penglibatan sebagai pengacara program Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1999, Farouk tidak lagi menoleh ke belakang.
Setakat ini, beliau sudah pun melakonkan lima filem, 13 telefilem, 10 drama dan 12 program televisyen. Malah Farouk juga pernah menerbitkan sebuah album bertajuk Kupintal Sarung Bantal pada 1999 selain dua single Hari Raya iaitu Selamat Hari Raya dan Sekadar Menghargai (1996).
Selepas tiga dekad bergelar anak seni, Farouk akur dengan persaingan yang berlaku dalam bidang ini.
Ketika dihubungi baru-baru, Farouk tidak menafikan peluang berlakon untuknya kini semakin merosot.
“Sekarang semakin ramai artis baharu. ada dalam kalangan mereka juga golongan pempengaruh yang memeriahkan industri seni.
“Stesen televisyen dan penerbit lebih mengutamakan pelapis-pelapis ini berbanding pelakon lama. Itu sebabnya artis lama macam saya juga terkesan, peluang berlakon semakin kurang. “Apa pun, saya anggap ini semua rezeki yang sudah ditentukan. Mungkin rezeki saya dalam bidang lakonan adalah setakat ini sahaja.
“Hendak kata tiada peluang langsung, tidaklah. Tetapi berkurang. Tetapi saya tak adalah kecewa,” katanya.

Namun, Farouk tidak menolak ada menyimpan sedikit rasa kecewa terhadap persatuan-persatuan seni yang baginya kurang memainkan peranan dalam membantu artis yang berdepan kemerosotan peluang pekerjaan.
“Ramai artis veteran yang semakin hilang peluang pekerjaan. Biasalah, semakin berpengalaman, semakin kurang diberikan peluang.
“Tapi yang mengecewakan saya, persatuan-persatuan seni kurang mainkan peranan dalam membantu ahli untuk mendapatkan pekerjaan dan bayaran setimpal.
“Jadi, saya harap persatuan-persatuan seni yang ada ini boleh perluaskan lagi peranan mereka, mungkin menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu bayaran tak setimpal atau sudah boleh berperanan sebagai pihak yang membantu kepada artis yang hilang peluang kerja,” kongsinya.
NYAWA DI HUJUNG TANDUK
PENGACARA dan pelakon ini pernah melakukan beberapa pekerjaan sebelum masuk ke dalam bidang pengacaraan.
Pada 1986, Farouk pernah bekerja di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang sebelum bertukar bidang menjadi pramugara untuk syarikat sebuah penerbangan tempatan.
Dalam perbualan kami, bapa kepada seorang cahaya mata ini berkongsi pengalaman paling mengerikan sepanjang bertugas di syarikat penerbangan tersebut.
“Pengalaman itu berlaku ketika dalam penerbangan dari Seoul, Korea Selatan menuju ke Kota Kinabalu.

“Itu pertama kali saya mengalami turbulance yang teramat teruk sehingga mengakibatkan ramai penumpang muntah dalam kapal.
“Ibarat nyawa di hujung tanduk, saya merasakan perkara buruk bakal berlaku sebaik sahaja juruterbang meminta anak kapal membuat persediaan untuk kemungkinan pendaratan cemas di atas laut.
“Bayangkan betapa cemas saya apabila melihat ketua pramugara pada waktu itu sudah mula membaca surah Yasin kerana terlalu ketakutan. Namun, Allah melindungi. Kami selamat mendarat namun bukan di destinasi yang dituju, sebaliknya Brunei Darussalam. Pengalaman itu meninggalkan kesan pada hidup saya sampai ke hari ini,” kongsinya.
TIADA WATAK SERIUS
SEPANJANG tiga dekad bergelar anak seni, tidak pernah sekali pun pelakon kelahiran Pulau Pinang ini melakonkan watak serius.
Katanya, bukan menolak, namun peluang untuk membawakan watak sedemikian tidak direzekikan untuknya.
“Saya pernah ditawarkan sebuah syarikat produksi untuk membawa watak serius iaitu seorang pegawai penyiasat. Namun stesen televisyen (TV) menolak cadangan itu atas alasan saya pelakon komedi.
“Pihak stesen TV berkenaan merasakan saya tak sesuai bawa watak serius.
“Apa pun saya anggap penolakan itu sebagai perkara positif. Saya terima apabila saya dianugerahkan rupa paras yang mampu menghiburkan orang lain.

“Saya mungkin boleh berlakon watak serius, tetapi saya tak tahu bagaimana penerimaan penonton tentang idea itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Farouk juga memaklumkan dia akan menolak sekiranya ditawarkan menjadi hos atau pengacara untuk program atau majlis formal.
“Ia tidak sesuai dengan perwatakan saya yang santai dan suka bergelak ketawa. Saya pernah terima tawaran sedemikian, tapi menyesal kerana jiwa terseksa dan hanya mahu selesaikan kerja dengan segera,” kongsinya.
KEGAWATAN 97, 98
FAROUK akui dunia hiburan ada pasang surutnya. Kongsi bekas pengacara ini, antara pengalaman hidup yang mendewasakan adalah ketika negara mengalami kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998.
“Waktu itu, ramai orang termasuk artis hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Ramai juga terpaksa berniaga untuk kelangsungan hidup.

“Saya akui, jatuh juga air mata jantan saya. Mana tidaknya, ketika itu buntu apabila hilang punca pendapatan, tambah pula saya baru mendirikan rumah tangga pada ketika itu.
“Waktu itu, timbul rasa menyesal, kenapa pilih bidang ini. Yang pendapatannya bersifat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.
“Tapi bila di kirkan semula, kenapa harus saya merungut, inilah jalan yang saya pilih,” katanya.










