KUANTAN: Lima kontraktor projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini yang kini dikenali Rumah Pahang ditamatkan kontrak sejak enam bulan lalu kerana didakwa melanggar perjanjian.
Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan yang merupakan pemaju Rumah Pahang berkata, kontraktor terbabit adalah sub-kontraktor yang dilantik untuk projek di Felda Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.
“Kontrak ditamatkan selepas beberapa kali notis dikeluarkan kepada mereka untuk meneruskan kerja-kerja mengikut Surat Setuju Terima yang ditandatangani bersama.
“Setelah ditamatkan kontrak, KMDI mengambil alih semula tapak-tapak projek dan meneruskan kerja seperti biasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pemaju bermasalah didakwa punca 10 projek PGBF di negeri ini dikategorikan ‘projek sakit’ kerana sehingga kini tidak membayar tuntutan lima kontraktor utama berjumlah RM20.5 juta.
Kontraktor projek di Felda Jengka 1, Abd. Rahman Abd. Samad dilaporkan mendakwa, punca utama projek perumahan terbabit terbengkalai disebabkan pemaju ‘bermasalah’ yang merupakan rakan usahasama kerajaan negeri tidak membuat bayaran dituntut kontraktor utama.
Azjuriyahti mendakwa, nilai RM20.5 juta dituntut lima kontraktor berkenaan adalah tidak masuk akal dengan kerja-kerja dilakukan sebelum mereka meninggalkan kerja dan ditamatkan kontrak.
“KMDI dalam proses membawa semua sub-kontraktor yang melanggar Surat Setuju Terima ke mahkamah kerana melanggar syarat kontrak yang termaktub dalam surat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan 10 projek Rumah Pahang berada dalam kategori ‘sakit’ tidak benar kerana ia ketika ini dalam proses pembinaan dan menunggu kelulusan daripada Pejabat Tanah dan jabatan-jabatan yang berkenaan. – UTUSAN











