Wanita trauma dirogol tukang tilik bergelar Datuk - Utusan Malaysia

Wanita trauma dirogol tukang tilik bergelar Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seorang wanita trauma apabila didakwa dirogol seorang lelaki bergelar Datuk yang juga tukang tilik nasib sejak tahun lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Linda, 24, berkata, dia pada mulanya terpedaya dengan perkhidmatan ditawarkan lelaki berkenaan menerusi iklan dalam media sosial bagi mengubah nasib hidupnya.

Katanya, sejak daripada itu, lelaki berkenaan yang dipanggil ‘master’ beberapa kali memperdaya dan meyakinnya bahawa dia adalah teman hidupnya dan perlu menjadi teman wanitanya sekira mahu mendapat nasib yang baik.

“Kejadian pertama berlaku pada November tahun lalu, yang mana lelaki berkenaan memaklumkan saya terkena ilmu hitam dan perlu menjalani rawatan.

“Sepanjang tempoh rawatan berkenaan, saya perlu menanggalkan pakaian dan berbogel sebelum dia menyentuh bahagian sulit saya bagi membuang ilmu hitam itu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Bercerita lebih lanjut, Linda berkata, lelaki berkenaan telah meyakinkan bahawa hanya dia sahaja yang dapat menyelesaikan masalah berkaitan nasib.

“Pada Disember tahun lalu, saya telah dijangkiti Covid-19 dan lelaki berkenaan menyatakan penyakit dialami saya adalah kerana karma tuhan memandangkan saya tidak mendengar arahan-arahan diberikannya.

“Lelaki berkenaan memperdaya saya mengatakan sekiranya mahu selamatkan nyawa, saya perlu melakukan hubungan seks bersamanya walaupun saya tidak bersetuju,” jelasnya.

Katanya lagi, perbuatan itu berlarutan selama empat sehingga lima kali dan perbuatan terakhirnya berlaku ketika dia dan pengikut yang menyertai kelas agama yang ditawarkan lelaki itu melancong ke Thailand baru-baru ini.

“Saya bersama beberapa orang pengikutnya telah tinggal di asrama yang disediakan dan ketika itu, saya tertidur dan sebaik saya sedar saya sudah berada dalam keadaan bogel.

“Lelaki itu telah menghantar pesanan di aplikasi WhatsApp menyatakan dia telah merogol saya. Ekoran itu, saya telah merasa diperdaya dan ditipu sehingga mengalami tekanan emosi,”ujarnya.

Linda berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 16 Ogos lalu di Balai Polis Sepang bagi tindakan undang-undang dapat diambil terhadap lelaki berkenaan.

“Saya tampil hari ini bagi memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap lelaki itu kerana saya yakin ramai lagi gadis menjadi mangsa penipuannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa kerugian RM70,000 selepas diperdaya dan ditipu lelaki sama selepas mengikuti kelas pelaburan kripto yang dianjurkannya.

Mangsa dikenali sebagai Alex berkata, dia mengetahui kelas yang ditawarkan lelaki berkenaan menerusi media sosial.

Katanya, lelaki berkenaan telah meyakinkan dia boleh mengubah hidup pengikutnya dengan memaklumkan dia mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja selain memiliki gelaran Datuk.

“Saya telah menyertai kelas ditawarkan lelaki berkenaan dengan bayaran RM 4,388 bagi dua sesi kelas.

“Saya juga perlu mengeluarkan wang pendahuluan bagi mengeluarkan sebuah kenderaan jenis Porsche untuk digunakan lelaki berkenaan dengan menjanjikan akan membantu memberikan keuntungan melipat ganda terhadap pelaburan kripto itu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×