PRK Nenggiri: Calon BN, Bersatu selesai mengundi - Utusan Malaysia

PRK Nenggiri: Calon BN, Bersatu selesai mengundi

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani berpelukan dengan Mohd. Rizwadi Ismail semasa di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani selesai membuang undi di Tadika Sri Bakawali Bertam Lama di sini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pukul 8.35 pagi

Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie yang memakai baju batik dan bersongkok tiba pada pukul 8.20 pagi bersama isteri Nur Khamila Mohd. Zin dan terus bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab.

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan isteri menunjukkan isyarat jari selepas selesai mengundi
semasa di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

“Alhamdulillah saya dan isteri telah selesai menjalankan tanggungjawab dengan mengundi pada pagi ini, diharapkan semua berjalan lancar.

“Saya menyeru seluruh pengundi di Nenggiri untuk keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Tabika Sri Bakawali di sini hari ini.

Sementara itu, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo Pas, Mohd. Rizwadi tiba di pusat pengundian pada pukul 8.40 pagi bersama isteri Che Mariam Che Noh.

Mohd. Rizwadi dan isteri kemudiannya selesai mengundi pada pukul 8.59 pagi.

MOHD. Rizwadi dan isteri menunjukkan isyarat jari selepas selesai mengundi
semasa di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

Sebelum itu, kedua-dua calon sempat berpelukan dan beramah mesra semasa membuang undi.

Mohd. Rizwadi berkata, ini kali pertama dia bertemu dengan Awie yang merupakan sahabat baiknya sepanjang tempoh berkempen.

“Sepanjang berkempen, kami beruda tidak pernah terserempak. Jadi saya harap pengundi dapat keluar beramai-ramai untuk melaksanakan tanggungjawab,” ujarnya.

PRK Nenggiri dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Bersatu dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Ekoran itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 13 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon Bersatu Mohd. Azizi Abu Naim menewaskan calon BN Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×