PUTRAJAYA: Lebih 1.6 juta penjawat awam menikmati julat peningkatan pendapatan antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus selain perubahan rangka kerja pencen dan persaraannya melibatkan implikasi kewangan kerajaan lebih RM10 bilion setahun.
Pelarasan gaji itu adalah antara langkah reformasi perkhidmatan awam di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama bagi kumpulan penjawat awam yang dalam kategori kumpulan pelaksana Gred 26 dan ke bawah, yang mempunyai nilai gaji pokok yang rendah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendapatan penjawat awam dilihat tidak lagi seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa apabila secara purata gaji penjawat awam hanyalah meningkat pada kadar 5.8 peratus setahun sejak dari tahun 2013.
Menurut beliau, ia melibatkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus akan ditawarkan kepada pegawai Kumpulan Pelaksana selain pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Selain itu, pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus pula kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Kata beliau, ia mengambil kira kedudukan ekonomi negara yang mencabar, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa dan hanya terpakai kepada pegawai yang menerima opsyen SSPA sahaja.
“Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2
“Kerajaan terpaksa melaksanakan pelarasan terbabit secara berperingkat disebabkan kekangan dan untuk mengelakkan tekanan inflasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-19, di sini semalam.
Menurut Perdana Menteri, pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, pelarasan gaji adalah sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan 7 peratus pada Fasa 2.
Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pelarasan gaji adalah empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2.
“Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.
“Justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda (compounding effect),” katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh, seorang Pembantu Hidupan Liar, Gred G11, dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM1,795 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,115 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1.
Semasa pelarasan gaji Fasa 2 pada 1 Januari 2026, beliau akan menerima pelarasan sebanyak 7 peratus menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,327.
Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam usaha untuk meningkatkan motivasi kerja Kumpulan Pelaksana, satu bentuk insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai yang telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) 2.
Katanya, insentif ini bersamaan dengan kadar satu kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.
“Manakala Kemajuan Kerjaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional Perkhidmatan Awam juga akan ditambah baik kenaikan pangkat secara one-off melibatkan pegawai Gred 41 hingga Gred 48 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) akan dilaksanakan bagi pegawai yang telah memenuhi tempoh dan kriteria yang ditetapkan.
“Urusan ini hanya bagi skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya terhad kepada kekosongan jawatan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, kata Perdana Menteri, pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME). – UTUSAN











