MUAR: Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang digesa menghormati keputusan kepimpinan Pusat parti itu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media berkaitan hasrat meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak lama lagi.
Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berkata, keadaan serupa ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PRK di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diberikan kepada calon Amanah untuk bertanding.
Katanya, jika mengikut rasa hati, ketika itu UMNO Bahagian Bakri juga berkelayakan untuk menghantar calon dan bertanding dalam PRK tersebut, namun tidak melakukannya atas dasar muafakat dalam Kerajaan Perpaduan.
“PRK Simpang Jeram diadakan tahun lepas dan ketika itu kerajaan negeri juga bukan Kerajaan Perpaduan, namun kami akur dengan keputusan kepimpinan Pusat parti.
“Malah UMNO Bahagian Bakri memberikan komitmen 100 peratus dalam usaha membantu calon Amanah memenangi PRK berkenaan tanpa sebarang permintaan dan soalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Azman mengulas kenyataan Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain yang bertegas untuk meletakan calon bertanding dalam PRK DUN Mahkota.
Ujarnya, keputusan Amanah Kluang untuk meletakkan calon di PRK DUN Mahkota akan menjejaskan hubungan baik yang mula ada dalam Kerajaan Perpaduan sekarang.
Sebelum itu, Amanah Kluang dalam hantaran di Facebook menyatakan kerajaan negeri Johor bukan Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN










