Harga MSM diunjur sekitar RM3,700 pada Ogos

Harga MSM diunjur sekitar RM3,700 pada Ogos

EKSPORT minyak sawit Malaysia melonjak sebanyak 40 peratus kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan pada RM3,700 pada Ogos, terutamanya disebabkan oleh pengetatan bekalan minyak bunga matahari dan minyak biji sawi pada musim akan datang, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC dalam kenyataan berkata, harga dijangka terhad kepada RM3,900 berikutan bekalan kacang soya global yang banyak.

Katanya, jangkaan pemulihan dalam pengeluaran minyak sawit Indonesia akan mewujudkan persaingan dengan eksport minyak sawit Malaysia.

“Pada Julai 2024, eksport minyak sawit Malaysia melonjak sebanyak 40 peratus kepada 1.69 juta tan, menandakan volum eksport bulanan tertinggi sejak Julai 2020.

“Begitu juga, pengeluaran minyak sawit di Malaysia juga mengalami peningkatan dua angka pada Julai 2024, meningkat sebanyak 14 peratus kepada 1.84 juta tan. Prestasi eksport yang kukuh ini didorong terutamanya oleh kawasan Afrika dan Asia Barat,” katanya.

MPOC berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke Afrika melonjak sebanyak 141 peratus bulan ke bulan kepada 422,000 tan, manakala eksport ke Asia Barat meningkat sebanyak 120 peratus kepada 256,000 tan.

Menurutnya, dalam tujuh bulan pertama 2024, eksport minyak sawit Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang luar biasa merentasi pelbagai wilayah. 

“Eksport ke rantau Asia Pasifik, Asia Selatan, Eropah dan Amerika telah meningkat masing-masing sebanyak 15 peratus, 16 peratus, 35 peratus dan 117 peratus.

“Peningkatan ketara dalam eksport ke Eropah disebabkan oleh aktiviti penyimpanan semula menjelang Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan datang pada bulan Disember.

“Sementara itu, lonjakan eksport ke Amerika disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit yang lemah di Amerika Latin. Akibatnya, pasaran Amerika telah mengalihkan importnya ke arah Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, harga minyak sawit dijangka kekal neutral pada Ogos, terutamanya disebabkan oleh jangkaan pemulihan dalam pengeluaran minyak sawit Indonesia dari Ogos hingga Oktober.

“Selain itu, stok minyak sawit di Malaysia diunjurkan meningkat dalam beberapa bulan akan datang, seterusnya mempengaruhi dinamik harga.

“Dari Januari hingga Mei 2024, pengeluaran minyak sawit Indonesia merosot sebanyak enam peratus (1.38 juta tan), manakala eksport menurun sebanyak 11 peratus (1.15 juta tan) berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Memandangkan pengeluaran Indonesia dijangka pulih dari Ogos hingga Oktober, eksport minyak sawit dari Indonesia juga berkemungkinan meningkat dalam tempoh ini, meningkatkan persaingan dengan eksport minyak sawit Malaysia,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×