PUTRAJAYA: Semua perkhidmatan agensi kerajaan yang berada di luar negara akan diletakkan di bawah satu bumbung bermula 1 Januari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan wujud isu pertindihan fungsi dan peranan pejabat wakil agensi kerajaan di luar negara.
Beliau percaya melalui sumber dikongsi bersama, ia dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dalam pengoperasian pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.
Katanya, pejabat terlibat antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Sehubungan itu, kata Anwar, langkah tersebut dapat menjimatkan wang kerajaan.
“MOTAC, MATRADE, MITI dan selain kedutaan semuanya mempunyai pejabat masing-masing.
“Jadi, bermula 1 Januari 2025, semua pejabat di luar negara akan disatukan di bawah satu bumbung bagi menjimatkan belanja dan mengoptimumkan operasi.
“Dunia masih kecil, ekonomi dan teknologi kian canggih tetapi cara kita berfikir dan bertindak masih usang, sebab itu saudara semua kena kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX), Perkhidmatan Awam Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, katanya, kerajaan sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap, bercarum dan kajian terperinci bagi menentukan strategi terbaik kepada kerajaan dan pegawai awam lantikan baharu.
Katanya, hasil kajian akan dibentang kepada Kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dilaksana.
“Kerajaan juga akan memperkenal kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran sebagai mekanisme pengukuran tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










