Sudah hilang rasa hiburkan orang – Eyeja - Utusan Malaysia

Sudah hilang rasa hiburkan orang – Eyeja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Undur diri ketika di puncak bukanlah pilihan popular buat anak seni. Tidak semua berani ambil risiko, apatah lagi jika itu adalah sumber rezeki dan mata pencarian. Namun bagi figura manis ini keputusan yang diambil adalah tepat dan berbaloi buat dirinya.

Menjelaskan dirinya tidak dipengaruhi sesiapa, katanya sudah tiba masa untuknya berehat seketika dari cabang seni. Ada yang perlu diberi keutamaan dalam men­zahirkan hidup seharian. Oleh itu, buangkan sahaja rasa sesal yang sering men­cengkam.

Bersama Mingguan Malaysia, Shahizal Mohd. Arshad. 38, atau nama pentasnya Eyeja Arshad berkongsi cerita hijrah dan karier terkini, juga sebalik sisi yang mendorongnya angkat kaki dari bidang seni.

“Saya tinggalkan bidang hiburan pada 2014, dua tahun selepas mendirikan rumahtangga. Keputusan ini dibuat bukanlah kerana desakan suami atau sesiapa, malah ia datang dari hati nurani saya sendiri.

“Kebetulan waktu itu saya dapat tawaran dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk satu program pentas, jadi saya tolak secara baik. Memang saya sudah tiada hati nak menyanyi lagi. Jujur saya katakan sudah hilang rasa untuk menghiburkan orang,” katanya membuka bicara.

Wanita berdarah campuran Melayu dan Pakistan ini akui meninggalkan bidang seni bukanlah mudah apatah lagi bakatnya dilihat versatil terutama dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

Ini terbukti apabila dia diberi penghormatan melontarkan suara untuk rilisan lagu tema ASEAN University Games 2008 yang berlangsung pada 11 hingga 21 Disember, 2008 di Kuala Lumpur.

Tidak setakat itu, bakatnya dilihat terus berkembang apabila berjaya mengendalikan beberapa program pengacaraan pentas berprestij, antaranya Anugerah Karyawan Muda, Final Gah 1, Klik-i dan pelbagai lagi.

“Kadang-kadang terfikir juga adakah jalan yang saya pilih ini betul atau sebaliknya. Walaupun jarang dapat publisiti meluas seperti artis lain, namun job saya tidak pernah putus terutamanya tawaran persembahan di majlis-majlis tertutup seperti korporat dan istana.

“Namun saya tidak pernah menyesal pilih jalan ini kerana yakin dengan rezeki Allah. Mungkin ada rezeki lain yang lebih baik menanti selepas ini,” katanya.

Bukan ingin memuji, tetapi terbukti anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini cukup berbakat apabila berjaya memahatkan namanya setanding dengan selebriti lain. Kesempatan itu diambil sebaiknya sebelum dia mengambil keputusan mengundurkan diri.

“Saya bersyukur kerana setiap bakat yang dipamerkan dinilai melalui keupayaan dan kemampuan bukannya dari sudut lain. Apa yang telah dicapai sebelum ini merupakan tahap tertinggi dalam kerjaya seni saya,” jelasnya.

Pemenang tempat ketiga Bintang RTM 2004 ini mengakui awalnya dia berasa cukup kekok dengan cabang seni baharu yang ditawarkan, namun dia komited untuk melakukan dengan sebaiknya walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan persaingan.

“Saya bermula dalam bidang nyanyian. Bila diberi peluang jadi pengacara tu memang teruja. Walau hakikatnya terasa nervous juga. Berada di pentas untuk menyanyi tidak sama seperti di pentas untuk mengacara.

“Menyanyi ini agak mudah kerana bila habis saja kita boleh terus ke belakang pentas. Jadi pengacara pula kena buat dari mula sehingga tamat. Walau ada skrip tapi kena pandai tackle audien. Kena pastikan mereka tak bosan atau menguap bila tengok kita,” katanya ketawa.

Sehingga kini dia sudah menjayakan beberapa rancangan popular televisyen antaranya, Destinasi Etnik, Aroma Pagi, Planet Seni dan banyak lagi.

Ditebak pertanyaan tentang cahaya mata, pengacara popular RTM ini akui sedikit terkesan apatah lagi pernah mengalami dua kali keguguran di awal perkahwinan.

Namun itu bukanlah noktah dan pengakhiran. Atas usaha dan kesabaran, dia akhirnya berpeluang menimang cahaya mata setelah hampir lapan tahun mendirikan rumahtangga.

“Pada awalnya memang rasa kecewa. Sebagai seorang yang bergelar isteri pastinya impikan zuriat sebagai penyeri keluarga, namun saya yakin semua itu adalah perancangan Allah SWT.

“Akhirnya impian saya dan suami dikabulkan jua apabila berjaya dapat cahaya mata melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

“Kini anak pun dah berusia sembilan bulan. Memang tumpuan 100% kepadanya. Maklumlah nak dapat bukannya mudah, jadi bila dah ada depan mata memang susah nak berenggang. Jadi pilihan saya untuk tumpukan pada keluarga ketika ini agak tepat,” katanya.

Tidak menyembunyikan rasa rindunya terhadap bidang seni namun melihatkan industri yang cukup berbeza dengan apa yang pernah dilaluinya sebelum ini membuatkan dia berfikir dua kali untuk kembali aktif.

Bukan takut menghadapi cabaran atau saingan, tetapi yang menjadi kegusarannya apabila melihat industri hiburan hari ini lebih terbuka terang-terangan tanpa ada had dan sempadan.

“Memang rindu beraksi di pentas, tambah pula bila lihat rakan-rakan artis yang masih aktif dengan show di sana-sini. Tapi cabaran juga cukup hebat. Kalau tak mampu nak tangani memang boleh down.

“Sekarang ini populariti artis diukur melalui media sosial. Berapa banyak pengikut, jumlah tontonan, dan sebagainya. Begitu juga dengan peminat. Kalau tak suka seseorang artis dia boleh kritik atau kondem artis on the spot. Jiwa kena kental. Itu yang buat saya fikir dua kali,” katanya.

Mengakui beberapa orang komposer datang menemuinya dan menyatakan hasrat untuk membawanya semula ke pentas hiburan seperti dahulu tetapi menolaknya dengan berhemah. Memberikan komitmen sedia ada sebagai alasan kukuh, namun tidak menolak andai satu hari nanti fikirannya terbuka untuk menerima peluang tersebut.

“Jujurnya keinginan itu tetap ada namun keberanian itu sedikit terhakis. Rasanya kalau nak kembali menyanyi banyak yang perlu saya buat, antaranya kena ‘buat badan’ lepas itu kena masuk kelas vokal, kelas grooming pendek kata kena bermula dari A semula.

“Lagipun saya ada rasa gerun dengan industri hari ini. Nak buat come back itu tiada masalah, tetapi kena bersedia mental dan fizikal. Sudah berusia ini kadang-kadang hati tisu juga. Mudah sangat terasa dan sentap,” jelasnya.

Tidak menafikan perniagaan merupakan antara bidang yang perlu difikirkan di hari mendatang, Eyesa mengutip pengalaman lalu untuk dijadikan sandaran ketika mengusahakan produk kecantikan bersama rakannya sebelum ini.

“Dahulu saya aktif jalankan bisnes produk kecantikan bersama seorang rakan kongsi, namun selepas dapat cahaya mata saya tinggalkan semua kerana tak mampu nak beri komitmen. Kini bila adik tawarkan peluang untuk jadi rakan kongsi keluarkan produk pakaian, terus saya setuju. Saya tahu perniagaan ini mampu menjana pulangan lumayan jika betul caranya.

“Insya-Allah semuanya sudah dalam fasa terakhir. Jika tiada aral melintang mungkin kami akan keluarkan jenama pakaian sendiri dalam waktu terdekat ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×