BANGKOK: Gabungan parti pemerintah Thailand bersetuju untuk mencalonkan Ketua Parti Phue Thai, Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri dalam sidang khas Parlimen esok.
Menurut laporan Reuters, perkara itu dimaklumkan selepas Phue Thai mengadakan pertemuan bersama parti-parti pemerintah bagi membincangkan perkara tersebut hari ini.
Ini bermakna Paetongtarn, 37, yang merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri dan hartawan, Thaksin Shinawarta bakal menjadi pengganti Srettha Thavisin yang dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan, semalam.
Bagaimanapun, beliau akan berdepan cabaran untuk mendapat sokongan Parlimen bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri Thailand yang baharu dalam pengundian berlangsung pada esok.
Untuk menjadi Perdana Menteri Thailand, seseorang ahli Parlimen perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 376 daripada 700 ahli Parlimen termasuk 200 anggota senator lantikan tentera.
Namun buat masa ini, blok kerajaan hanya mempunyai 314 ahli Parlimen dan kekurangan 62 sokongan untuk membolehkannya dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu bagi menggantikan Srettha.
Jika tidak, calon itu bakal senasib bekas pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat yang gagal menjadi Perdana Menteri Thailand selepas tidak mendapat sokongan meyakinkan lebih separuh daripada 700 ahli Parlimen walaupun partinya menang besar dalam pilihan raya negara itu pada 2023.
Sebelum ini, bekas Menteri Kehakiman dan ahli politik kanan Parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri juga antara nama disebut sebagai calon Perdana Menteri.-AGENSI










