SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis meneruskan siasatan sebagai kematian mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses bedah berlangsung selama empat jam bermula pukul 11 pagi bagi mengenal pasti punca kematian, namun memaklumkan tiada unsur jenayah dikesan.
“Punca kematian pending laboratory investigation dan siasatan diteruskan sebagai mati mengejut. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan buat masa ini. Siasatan diteruskan sebagai SDR untuk kenal pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menyeru orang ramain yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu polis dengan menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan memberitahu, pihaknya menunggu laporan tersebut untuk menentukan jika terdapat sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan kematian Muhammad Nidza Afham atau dikenali sebagai Nidza Afham.
Menurutnya, laporan bedah siasat diperlukan untuk membantu siasatan polis selain keterangan-keterangan daripada saksi-saksi kejadian.
Nidza Afham, 23, dilaporkan hilang kira-kira pukul 7.45 malam kelmarin selepas keluar dari rumah di Bandar Puteri Klang untuk beriadah di Stadium Sultan Sulaiman dengan menaiki kenderaan perkhidmatan e-hailing (InDrive).
Teman wanitanya berkata, lokasi terakhir Nidza Afham yang merupakan abang kepada penyanyi Aufahanie dikenal pasti dekat Jambatan Kota, Klang menerusi aplikasi Find My iPhone.
Bagaimanapun, ketika dilokasi kejadian, hanya telefon bimbit dan dompet yang masih berisi kad pengenalan dan kad pelajar ditemukan, bagaimanapun kad bank milik Nidza Afham dan wang tunai dipercayai hilang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong kemudian mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di Sungai Klang kira-kira pukul 7 petang semalam.
Hussein dalam maklumannya kemudian mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Nidza Afham.
Susulan penemuan tersebut, mayat Nidza Afham dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) malam tadi untuk dibedah siasat.
Jenazah penyanyi yang pernah mengeluarkan single berjudul ‘Ternyata Bukan Aku’ itu dibawa ke Masjid Puncak Alam selepas selesai dimandi dan dikafankan di Unit Perubatan Forensik HSA.
Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Asar. – UTUSAN










