KUALA LUMPUR: “Tolong, jangan kongsi gambar arwah abang saya.”
Berikut permintaan penyanyi, Aufahanie, 21, mengenai penyebaran gambar mayat abangnya, arwah Nidza Afham yang ditemukan di Sungai Klang, semalam.
Aufahanie atau nama penuhnya, Nur Aufahanie Mokhtar berharap tindakan menularkan gambar tersebut dihentikan bagi menghormati perasaan keluarga.
“Jangan kongsi gambar arwah abang saya yang ditemui di media sosial anda.
“Sila padam (gambar), hormati perasaan kami sekeluarga. Terima kasih,” tulisnya di Insta Story.
Polis Selangor pada semalam mengesahkan mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang, petang semalam adalah Nidza.
Jenazah kini masih ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk proses bedah siasat yang bermula awal pagi tadi.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan hilang selepas keluar bersenam di Stadium Klang, Selangor sekitar pukul 11.53 malam.
Selain mayat, polis turut menemukan dompet dan telefon bimbit arwah di jambatan Sungai Klang.











