'Kami semua menunggu kepulanganmu' - Keluarga mangsa - Utusan Malaysia

‘Kami semua menunggu kepulanganmu’ – Keluarga mangsa

AIN Husna Farhana Mohamad Husaini (kanan) dan adiknya, Aishah Humairah menyeru kepulangan Aina Husna yang masih hilang di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang ahli keluarga mangsa bot karam, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, masih berharap adiknya, Aina Husna, 25, yang hilang dalam kejadian bot karam selepas dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman di sini, Ahad lalu, ditemukan segera walaupun apa keadaannya.

Ain Farhana berkata, dia dan ahli keluarganya sangat merindui Aina Husna yang mesra dipanggil Una.

“Baliklah Una (Aina Husna), timbullah, kami semua menunggu kepulanganmu.

“Kami tunggu Una pulang walaupun dalam keadaan apa pun. Kami memang sangat berharap agar dia masih selamat, namun jika sebaliknya yang berlaku, kami redha.

“Sekiranya benar dia tiada, biarlah sekurang-kurangnya ada penanda (kubur),”
katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Aina Husna merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam dipercayai dilanggar tongkang yang masih belum ditemukan.

Seorang lagi mangsa yang belum ditemukan ialah pesara polis, Yusof Kassam, 66.

Ain Farhana berkata, selain ahli keluarganya, rakan-rakan Aina Husna turut datang ke Kemaman untuk menunggu kepulangan mangsa.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan dua lagi mangsa bot karam itu ditamatkan secara rasminya, hari ini selepas empat hari pencarian dilakukan.

“Op Carilamat itu ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk yang dapat mengesan kedua-dua mangsa dan bangkai bot tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×