SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke kawasan Baruh Padi Alami di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu, Kelantan perasaan menjadi begitu teruja melihat padi menguning.
Menambahkan lagi keterujaan, padi tersebut tumbuh segar walaupun tanah di kawasan itu kontang dan merekah susulan kemarau yang dilihat semakin ‘mengganas’ melanda negeri serambi Mekah ketika ini.
Tidak cukup dengan itu, padi diusahakan Mohd. Yusri Mohammad Nor,49, ini turut menggunakan konsep alam semula jadi iaitu bebas daripada penggunaan racun dan baja.
Padi daripada jenis varieti MR297 yang ditanam di tanah seluas empat hektar itu bergantung sepenuhnya kepada air.
GUNA CARA TRADISIONAL
Mohd. Yusri yang merupakan kontraktor jalan raya berkata, padi ditanamnya itu dilakukan secara tradisional menggunakan khidmat pakar tanaman dari Indonesia iaitu Aep Saepudin.
Ia menggunakan kaedah mencedung dan melandak (merumput) dengan hasilnya dituai secara membanting.
“Saya melakukan segala proses penanaman secara semula jadi. Malah saya turut membiarkan ikan air tawar dan siput berada di dalam sawah.
“Disebabkan itu, tanaman juga terhasil secara semula jadi. Alhamdulillah, saya berjaya menuai hasil sebanyak tiga tan metrik beras pada musim pertama tuaian tahun lalu,” ujarnya.
Kontraktor jalan raya itu berkata, kesemua hasil diperoleh itu digunakan untuk diri sendiri selain di sedekahkan kepada rakan-rakan dan golongan memerlukan.
PENGAIRAN, TELAGA TIUB
Mohd. Yusri berkata, bagi memastikan air di bendangnya sentiasa mencukupi dia mengeluarkan belanja sebanyak RM30,00 untuk menggali telaga tiub.
Dia turut menyediakan sistem pengairan bagi memastikan bekalan tidak terputus.
“Sepanjang kemarau lalu sawah tidak berdepan dengan masalah air yang boleh merencatkan tumbesaran padi,” ujarnya.
Idea menanam padi secara semula jadi tercetus sewaktu beliau dalam perjalanan dari Iowa ke Nebraska, Amerika Syarikat (AS) kira-kira enam tahun lalu.
Ujarnya, sepanjang perjalanan dia melihat tanaman di kawasan berkenaan subur meskipun dibiarkan secara semula jadi.
“Apabila pulang ke sini, ada rakan memperkenalkan saya kepada pakar tanaman padi dan pesawah dari Indonesia, Aep Saripudin.
“Hasil bantuan Aep Saripudin saya berjaya merealisasikan hasrat menanam padi secara semula jadi,” ujarnya.
Pengarah Urusan Yusri Maju Sdn. Bhd ini memberitahu, melihat kepada keadaan padi ketika ini dia mampu memperoleh peningkatan hasil lebih dua ganda berbanding musim pertama.
Katanya, untuk hasil kali ini dia bercadang memperkenalkan beras berkonsepkan alam itu kepada orang ramai.
“Impian saya untuk orang merasai khasiat beras yang bebas racun dan baja. Saya sudah memperoleh lesen untuk mengeluarkan beras.
“Pada masa sama, saya sudah mempunyai kilang padi mini untuk memproses hasil,” ujarnya.











