Tingkat minat pelajar melalui pertandingan

Tingkat minat pelajar melalui pertandingan

PERTANDINGAN berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan satu pendekatan yang efektif untuk menarik minat pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDIDIKAN Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin penting dalam dunia yang semakin berkembang pesat dengan teknologi. Dalam usaha untuk menarik minat pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang ini, pihak sekolah perlu memperbanyakkan pertandingan yang berasaskan STEM. Pertandingan sebegini bukan sahaja menguji pengetahuan pelajar, malah mengasah kemahiran kritikal dan kreatif mereka.

Pertandingan ini menawarkan pelbagai kelebihan. Antaranya, mampu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran berkenaan yang sering dianggap sukar dan membosankan.

Melalui pertandingan, pelajar berpeluang untuk melihat aplikasi sebenar konsep-konsep yang dipelajari dalam kelas, menjadikan pembelajaran lebih menarik dan bermakna.

Selain itu, pertandingan ini juga dapat membantu pelajar membina kemahiran abad ke-21 seperti kerjasama, komunikasi dan penyelesaian masalah.

Pertandingan STEM juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kreativiti. Dalam pertandingan reka cipta, pelajar perlu menggunakan imaginasi dan pengetahuan untuk mencipta sesuatu yang baharu atau memperbaiki sesuatu yang sedia ada. Ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membantu pelajar mengasah kemahiran inovatif yang penting dalam dunia pekerjaan masa kini.

Di samping itu, melalui cara ini juga dapat memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Melalui persaingan, pelajar akan berusaha untuk memperbaiki diri dan mencapai yang terbaik. Semangat ini penting untuk kejayaan dalam akademik dan kehidupan seharian.

Pun begitu, usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti sekolah, universiti, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan pertandingan dan program STEM.

Kerjasama ini penting untuk memastikan program yang dianjurkan berkualiti dan relevan dengan perkembangan terkini bidang STEM. Pihak luar juga boleh menyediakan sumber dan kepakaran yang diperlukan untuk menjayakan program-program ini.

Secara keseluruhannya, pertandingan berasaskan STEM merupakan satu pendekatan yang efektif untuk menarik minat pelajar melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Dengan menyediakan platform untuk pelajar mengasah kemahiran dan meneroka minat, pihak sekolah dapat memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato’ Sulaiman, Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×