KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengeluarkan kenyataan mengenai pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
“Presiden sendiri akan keluarkan kenyataan berkaitan isu tersebut,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang akhbar Perhimpunan Agong UMNO (PAU 2024_ di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.
Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Perkara itu mendapat perhatian pergerakan Pemuda UMNO Malaysia apabila mendesak kerajaan mempertimbangkan langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik tersebut.
Ketuanya, Dr Akmal Salleh mengakui tidak bersetuju dengan pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik itu dan semakan semula keputusan terbabit adalah selaras kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995. – UTUSAN










