KUALA NERUS: Seorang pemuda maut setelah motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori yang membuat pusingan U di Jalan Kubur Shariff, Gong Badak, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Che Muhamamad Faiz Che Mazuki, 26, yang juga pekerja swasta di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Batu Rakit, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, dalam kejadian 10.25 pagi itu, mangsa dari arah Gong Badak menuju Padang Nenas.
Menurut beliau, siasatan mendapati sebuah lori sedang membuat pusingan U di hadapan kedai ‘hardware’ sebelum motosikal mangsa datang dan melanggar sisi kanan lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Manakala pemandu lori Isuzu yang berusia 32 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Azli, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori mendapati lelaki berkenaan negatif sebarang bahan terlarang.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN









