KEMAMAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor harimau kumbang betina selepas haiwan liar itu memasuki perangkap yang dipasang di sebuah ladang sawit di Cherul, di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata, harimau kumbang dewasa yang dianggarkan seberat 45 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang
“Sebelum ini kita menerima aduan daripada pekerja ladang selepas harimau kumbang itu dikesan berkeliaran di ladang itu.
“Dengan tertangkapnya harimau kumbang dapat mengurangkan kerisauan pekerja ladang untuk melakukan kerja mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kean Seong berkata, harimau kumbang yang kedua berjaya ditangkap di daerah ini sejak awal Januari lalu itu berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.
“Harimau kumbang ini telah berjaya dibawa keluar oleh enam anggota Perhilitan dan kita akan melepaskan haiwan liar ini ke hutan yang sesuai untuk kemandirian spesiesnya,” katanya.
Dalam pada itu, Kean Seong turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar.
“Jangan sesekali mengambil tindakan sendiri dengan mengejar atau melakukan provok terhadap haiwan itu demi keselamatan diri dan segeralah menghubungi pihak Perhilitan supaya tindakan sewajarnya dapat segera diambil,” katanya. – UTUSAN











