JERANTUT: Lebih 300 warga Felda Jengka 24 di sini, ‘menyerbu’ kedai menjual Jalur Gemilang untuk membeli bendera dan mengibarkannya di premis serta kediaman masing-masing bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, beberapa kedai menjual Jalur Gemilang di bandar ini, Bandar Pusat Jengka dan Temerloh kehabisan stok bendera kerana ‘diserbu’ warga tanah rancangan terbabit.
“Di tanah rancangan ini, terdapat kira-kira 330 premis membabitkan 292 rumah peneroka, kakitangan Felda, guru, klinik dan pejabat FGV Holdings Berhad (FGV).
“Sempena Bulan Kemerdekaan ini, warga tanah rancangan ini dilihat begitu bersemangat menghias premis masing-masing dengan Jalur Gemilang dan bendera Pahang.
“Dianggarkan, lebih 6,000 Jalur Gemilang dikibarkan di Felda Jengka 24 sekali gus memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Razak berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, warga Felda Jengka 24 meneruskan tradisi gotong-royong memasang bendera selain membina arca dan replika hasil kreativiti masing-masing bermula minggu ini.
“Semangat patriotik kira-kira 2,000 penduduk sekali lagi dizahirkan dengan tradisi tahunan di sini iaitu menghiasi kawasan Felda ini dan rumah dengan ribuan Jalur Gemilang.
“Setiap rumah pasang sekurang-kurangnya 20 bendera dan kita galakkan 50 bendera termasuk bendera besar dan kecil,” katanya. – UTUSAN











