PERUNDING hartanah mengakui beberapa faktor termasuk harga dan lokasi menjadi penyebab utama hartanah tidak terjual dan memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini.
Bahkan, ada pula kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tidak padat ‘tidak cukup’ untuk menampung penduduk sedia ada.
Bagi perunding hartanah, Team Leader IQI Realty Sdn. Bhd., Amiruddin Abdul Rahman berkata, harga jualan yang tinggi dan tawaran yang lebih tinggi daripada permintaan antara faktor utama hartanah tidak terjual.
Jelas beliau, harga rumah projek baharu yang ditawarkan antara RM300,000 hingga mencecah RM1 juta oleh pemaju biasanya mengambil kira nilai harga pasaran untuk masa hadapan biasanya tiga tahun akan datang di mana projek perumahan itu dijangka siap.
“Harga rumah yang tinggi ini juga kadangkala melebihi kemampuan kewangan kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dan berpendapatan rendah.
“Selain itu, pembangunan perumahan yang pesat tanpa kajian permintaan yang menyeluruh menyebabkan lebih banyak rumah dibina daripada yang diperlukan.
“Ini melibatkan kawasan baharu yang pesat membangun yang mempunyai banyak pemaju biasanya akan mewujudkan banyak unit untuk di jual tetapi permintaan dari pasaran adalah terhad menyebabkan jualan projek tersebut bergerak dengan perlahan di mana pemaju perlu bersaing dengan pemaju yang lain pada masa yang sama,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Amiruddin, faktor lain termasuk kesukaran mendapat pinjaman seperti polisi fiskal dan kewangan kerajaan yang berubah telah menyebabkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik beberapa kali sejak beberapa tahun yang lepas.
“Ini juga menyebabkan kadar faedah pinjaman juga naik mendadak berbanding semasa negara menghadapi krisis Covid-19 pada tahun 2020. Syarat-syarat pinjaman yang ketat dan kadar faedah yang tinggi juga menyukarkan pembeli untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi perunding hartanah, Gudrotullah Bijarto berkata, lokasi menjadi faktor utama disebabkan konsep, harga, permintaan di kawasan tersebut hartanah tidak terjual.
“Sebagai contoh, ada lokasi sesuai dibina di kawasan bandar atas faktor peluang pekerjaan, rumah dan mudah diakses dan harganya murah berbanding rumah yang jenis kondominium atau bertanah di kawasan sama.
“Bagaimanapun, jika kita membina unit SoHo, SoVo, SoFo (seperti unit studio) di kawasan jauh dari bandar, seperti Semenyih maka, permintaan akan berkurang dan tidak mampu menarik pembeli,” katanya.
Jelas beliau, hal ini kerana, ketika ini, rumah bertanah masih pada harga RM300,000.
“Ada beberapa lokasi yang mana lebih baik pemaju membina rumah bertanah daripada membina apartmen atau kondominium.
“Contoh di luar Lembah Klang, permintaan pembelian rumah bertanah adalah lebih sesuai dan pembeli cenderung membeli kediaman bertanah. Agak sukar pemaju menjual rumah jenis apartmen kerana di luar Lembah Klang rumah jenis bertanah masih murah dan berpatutan,” katanya.-UTUSAN










