KESIBUKAN beberapa lokasi dengan trend dan tapak pembinaan di ibu negara atau luar lembah Klang menunjukkan pemaju kini sedang rancak membina hartanah mahupun kediaman baharu bagi menampung permintaan penduduk di negara ini.
Satu demi satu hartanah dibuka, namun, masih ada lokasi hartanah yang tidak terjual atau pun overhang mungkin disebabkan faktor lokasi mahupun harga.
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mendefinisikan hartanah tidak terjual sebagai unit kediaman, komersial dan industri yang telah siap dibina dengan mendapat sijil penyiapan dan pematuhan tetapi masih tidak dapat dijual melebihi tempoh sembilan bulan dari tarikh dilancarkan atau selepas 1 Januari 1997.
Namun, apakah faktor utama hartanah tidak terjual ini sekali gus memberi impak kepada pemaju di kawasan tersebut?
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia, Datuk Ir. Ho Ho Sang berkata, pihaknya amat memandang serius isu rumah tidak terjual yang telah lama berlaku di negara ini.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah untuk suku pertama 2024 yang dikeluarkan oleh Napic, sebanyak 80 peratus rumah siap yang tidak terjual sudah berusia lebih dari tiga tahun sejak ia dilancarkan.
“Sebahagian daripadanya mungkin dibina di kawasan yang tiada permintaan untuk rumah mampu milik dalam kuantiti yang banyak dan mungkin juga tiada permintaan sama sekali.
“Bagaimanapun, pemaju di Malaysia rata-rata bersifat pragmatik dan akan menurunkan harga untuk memastikan rumah yang mereka bina akan dijual. Jadi, mengapa masih terlalu banyak rumah yang tidak terjual walaupun selepas tiga tahun?
“Hal ini mungkin kerana rumah tersebut merupakan unit bumiputera yang tidak dilepaskan oleh pihak kerajaan negeri untuk dijual di pasaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas beliau, haI ini kerana setiap negeri mempunyai garis panduan yang berbeza untuk kuota bumiputera dan kebanyakannya tidak mempunyai garis panduan yang jelas dan boleh menyebabkan penjualan rumah tersebut tersekat.
Beliau memberitahu, laporan hartanah itu turut menunjukkan sebanyak 28.6 peratus daripada keseluruhan rumah siap tidak terjual dalam tempoh itu adalah kategori harga di bawah RM300,000.
“Kategori harga lain yang turut terjejas, iaitu RM300,000 hingga RM500,000 dengan 26.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rumah siap tidak terjual, RM500,000 hingga RM1 juta (29.4 peratus) dan harga lebih RM1 juta (15.7 peratus).
“Pada pendapat kami, subsidi bersilang turut menjadi faktor apabila pemaju menaikkan harga rumah di pasaran terbuka untuk menampung pembinaan rumah mampu milik yang dijual lebih murah dari kos pembinaannya.
“Ini secara tidak langsung menyebabkan peningkatan harga rumah tersebut dalam lingkungan RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap unit,” katanya.
Ho Sang berkata, garis panduan kuota bumiputera yang jelas bersama kaedah pelepasan yang telus amat penting untuk memastikan isu rumah siap tidak terjual dapat dikawal atau dikurangkan.
“Pada masa sama, kaedah subsidi bersilang yang terpaksa diambil para pemaju untuk membina rumah mampu milik juga merupakan penghalang kepada pengurangan rumah siap tidak terjual kerana arahan daripada kerajaan negeri yang perlu dipenuhi.
“Subsidi bersilang ini akan menjadi bertambah parah sekiranya negara kita dilanda kemelesetan ekonomi dan pasaran hartanah terjejas, di mana pembinaan rumah akan menjadi perlahan.
“Oleh itu, Rehda berpendapat adalah wajar jika pihak kerajaan mengambil alih sepenuhnya pembinaan rumah mampu milik, kembali seperti 1980-an untuk memastikan bekalan rumah mampu milik yang secukupnya di kawasan yang memerlukan walaupun pasaran hartanah tidak aktif,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perundingan Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Sr. Idzwan Izuddin Shah Ishak pula berpandangan, kerajaan perlu mengkaji semula kelulusan pembinaan rumah yang dibina oleh pemaju di negara ini.
“Hal ini disebabkan kebanyakan hartanah yang tidak terjual adalah jenis apartmen, kondominium atau apartmen servis.
“Harga rumah yang dilancarkan juga perlu mendapat kelulusan daripada jabatan penilaian dan perkhidmatan harta (JPPH), Kementerian Kewangan terlebih dahulu bagi mengelakkan ia sesuai dengan permintaan di satu-satu lokasi,” katanya.
Jelas beliau, pelbagai inisiatif oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri untuk menangani isu perumahan ini seperti kewujudan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Rumah Selangorku dan sebagainya untuk membantu pembeli mendapatkan rumah dengan harga berpatutan.
“Isu rumah tidak terjual ini melibatkan lokasi sama ada tengah bandar, pinggir bandar dan luar bandar yang bersandar secara langsung ke atas aksesibiliti serta jaringan pengangkutan awam serta kemudahan awam seperti sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN











