VINHEDO: Dua doktor antara 61 orang yang maut dalam nahas sebuah pesawat turboprop berhampiran Sao Paulo kelmarin, dengan semua penumpang merupakan warga negara Brazil.
Syarikat penerbangan Voepass berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada terdapat penumpang yang mempunyai dua kewarganegaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Voepass, Eduardo Busch berkata, syarikatnya akan bekerjasama rapat dengan Pusat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Aeronatik (CENIPA) untuk meneliti punca nahas.
“Seluruh kru adalah cekap. Kami sedang menunggu akses kepada semua komunikasi antara juruterbang dan menara kawalan untuk memahami kejadian sebenar,” katanya pada sidang akhbar, kelmarin.
Agensi penerbangan awam Brazil berkata, pesawat yang dihasilkan pada 2010 itu beroperasi dalam keadaan baik, dengan sijil pendaftaran dan kelayakan udara yang sah.
Katanya, empat anak kapal juga memiliki kelayakan yang sah dan berlesen.
Dalam kejadian kelmarin, pesawat turboprop berkembar dilaporkan terhempas di bandar Vinhedo, ketika dalam perjalanan dari Cascavel di negeri selatan Parana ke lapangan terbang Guarulhos di bandar Sao Paulo.
Pesawat ATR 72-500 yang membawa 57 penumpang dan empat anak kapal meninggalkan Cascavel pada 11.56 pagi Jumaat (waktu tempatan).
Menurut laman web penjejakan Flightradar24, isyarat terakhir yang diterima daripada pesawat itu adalah kira-kira satu jam setengah kemudian.
Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat terbabit turun secara menegak dan berpusing semasa ia jatuh.
Pesawat dilaporkan terhempas di kawasan kejiranan, namun tiada mangsa lain terlibat dan hanya sebuah rumah di kompleks kondominium rosak.










