TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.3 skala Richter menggegarkan Tokyo dan bahagian timur Jepun petang semalam, sehari selepas negara itu mengeluarkan amaran kali pertama mengenai risiko gempa bumi besar.
Walaupun kerosakan di kawasan paling hampir dengan pusat gempa tidak jelas, Perdana Menteri, Fumio Kishida berkata, kerajaan tidak menerima sebarang laporan kerosakan besar.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, pusat gempa berada di wilayah Kanagawa di selatan bersebelahan ibu negara, pada kedalaman 10 kilometer.
Kanagawa tidak terletak dalam zon barat di sepanjang pantai Pasifik yang dikenali sebagai Palung Nankai, seperti dinyatakan dalam amaran mengenai gempa bumi besar kelmarin.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan selepas kerajaan menghantar amaran gegaran kuat kepada penduduk di Tokyo dan wilayah Kanagawa, Saitama, Yamanashi dan Shizuoka.
Beberapa laluan kereta api, termasuk perkhidmatan kereta api laju Shinkansen milik Central Jepun Railway, menghentikan operasi di kawasan berhampiran Tokyo dan Kanagawa.
Tiada laporan kerosakan di loji kuasa nuklear Hamaoka di Shizuoka dan loji tenaga termal di Kanagawa, menurut penyiar awam NHK.- REUTERS










