KUALA LUMPUR: Pelakon, Dayana Roza berdepan detik cemas selepas terlibat dalam kemalangan ketika bercuti bersama keluarga baru-baru ni.
Dayana, yang menceritakan kejadian itu di Instagram, memaklumkan, insiden ngeri itu yang terjadi sekelip mata, berlaku ketika dia cuba menyelamatkan anaknya, Astrid Raheeya daripada dirempuh individu tidak dikenali ketika bermain gelongsor di lokasi percutian mereka.
“Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Betul kata orang, naluri seorang ibu itu memang kuat. Tengah sarapan, saya tak sedap hati bila tengok Astrid dengan pembantu saya tengah bermain dekat pantai, sekitar gelongsor. Baru makan telur dadar tiga suap, saya terus berlari ke arah dia orang.
Berita berkaitan:
“Nasib saya sempat tolak Astrid sekuat hati, saya tengok orang kat atas gelongsor sudah tak ade. Tapi nasib saya tak baik, lelaki itu turun betul-betul kena kepala saya. tak pasti kena kaki atau siku sebab saya menghadap astrid lepas tolak dan nak ke arah dia. Selepas kena (hentakkan) saya pitam sekejap. Impak sangat kuat, jadi kepala saya koyak, darah meleleh tak berhenti dan rasa macam nak tidur, tapi saya lawan,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, Dayana memaklumkan disebabkan insiden tersebut, dia terpaksa dikejarkan ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan selepas menjalani pendarahan akibat luka di bahagian kepalanya.
Keadaan pelakon itu bagaimanapun stabil selepas pembedahan tersebut.
“Sewaktu mak saya siapkan first aid, Saya mula muntah-muntah dan tangan kebas, dalam hati saya tak henti bersyukur sebab bukan Astrid yang kena, kalau tidak tak tahu jadi apa. Lepas itu kita orang naik bot pergi ke darat, terus ke hospital Mersing, sudah x ray semua. Doktor kata kena pindah hospital utk buat CT scan.
“Jururawat tanya ada insurans atau tidak, saya kata ada jadi dia suruh hubungi KPJ Kluang (paling dekat) untuk ambulans datang ambil. Sampai sahaja KPJ Kluang terus dia orang X ray lagi, CT scan, bagi ubat tahan sakit dan kena lakukan pembedahan kecil sebab doktor kata tak boleh jahit biasa kerana kulit koyak dan nampak tengkorak. Alhamdulillah, tak ada apa serius,” tulisnya.











