KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyelar Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang seolah-olah bermain politik picisan bagi meraih sokongan pengundi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM16 bilion daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik.
Kata beliau, Ronald seperti tidak faham dan cuba menjadi ‘juara’ untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Jangan jadi politik picisan, cuba meraih (sokongan) padahal masa ada kuasa dahulu kamu diam (dan) kamu ikut saja. Mana dia Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa kamu berkuasa?
“(Kerajaan) sekarang, kita bincang (dan) laksana sebanyaknya. Saya nak tanya dia, semasa berkuasa dia bua tapa? Ini masalah kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan sesi lawatan ke gerai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kompleks Makan Tanglin di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa RM16 bilion diumumkannya untuk Sabah pada Pesta Kaamatan 31 Mei lepas merupakan peruntukan keseluruhan untuk negeri itu bagi tahun ini dan bukan hanya untuk pembangunan.
Jumlah itu adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara antaranya sekolah, pendidikan untuk anak-anak, menjaga sempadan bagi keselamatan rakyat dan pembangunan negeri.
Bagaimanapun, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Anwar tidak menjawab kepada isu yang sepatutnya beliau jawab iaitu pemberian wajib 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Anwar berkata, Ronald yang pernah menjawat jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat perlu teliti pemberian peruntukan tersebut dan tidak mempolitikkannya.
Jelasnya, kerajaan terbuka untuk berbincang mengenai peruntukan tambahan kepada Sabah, bagaimanapun perbincangan perlu dilakukan secara berhemah.
“Dia bekas Timbalan Speaker, bacalah. Apa yang dia tak fahamnya? Saya sudah baca dengan teliti, jangan politikan benda itu. Kalau nak mintak lagi bincang dengan saya (secara) elok-elok.
“Saya sudah masukkan semua, itupun tidak termasuk lagi Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan beberapa projek tambahan lain,” katanya. – UTUSAN










