LONDON: Seorang wanita berusia 55 tahun dari barat laut England ditangkap kerana menyiarkan maklumat tidak tepat di media sosial mengenai identiti suspek dalam kes tikaman di Southport.
Polis Cheshire dalam kenyataan mengesahkan penahanan suspek semalam kerana disyaki menerbitkan bahan bertulis untuk menghasut kebencian kaum.
Ketua Superintender Alison Ross berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 19 Akta Ketenteraman Awam 1986 dan komunikasi palsu mengikut Seksyen 179 Akta Keselamatan Dalam Talian 2023.
“Kita semua melihat kekacauan ganas yang berlaku di seluruh UK sepanjang minggu lalu, kebanyakannya didorong oleh komunikasi berniat jahat dan tidak tepat dalam talian.
“Ia merupakan peringatan jelas mengenai bahaya menyiarkan maklumat di platform media sosial tanpa memeriksa kesahihannya.
“Ia juga bertindak sebagai amaran bahawa kita semua bertanggungjawab terhadap tindakan kita, sama ada dalam talian atau secara peribadi,” katanya.
United Kingdom (UK) digemparkan oleh kekacauan ganas dengan perusuh sayap kanan menyebarkan fitnah perkauman dan Islamofobia yang menyasarkan umat Islam, kumpulan minoriti serta pendatang.
Rusuhan itu didorong oleh dakwaan palsu yang tersebar dalam talian bahawa suspek yang ditahan kerana menikam mati tiga kanak-kanak pada 29 Julai lepas, adalah seorang pencari suaka beragama Islam.
Sejak itu, pihak berkuasa mengenal pasti penyerang sebagai Axel Rudakubana, 17, yang dilahirkan Cardiff, Wales, tetapi ia sedikit pun tidak membantu menghalang perusuh meneruskan kekacauan.- ANADOLU











