Hazimi Doktor Prihatin rawat pesakit tanpa mengira kaum

Hazimi Doktor Prihatin rawat pesakit tanpa mengira kaum

DR. Mohammed Hazimi Abdul Razak (dua kiri) bersama pembantu Ambulans Prihatin memberi khidmat kepada pesakit terlantar pelbagai kaum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengalaman sukar mendapatkan ambulans untuk menghantar pesakit kritikal ke hospital semasa Covid-19, mendorong Dr. Mohammed Hazimi Abdul Razak menyediakan perkhidmatan itu kepada masyarakat.

Ketika itu, dengan bantuan polis peronda, beliau terpaksa menghantar sendiri seorang pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan berterusan dari sebuah klinik swasta ke hospital untuk rawatan.

Menurut beliau, dari situ tercetus hasrat untuk mewujudkan perkhidmatan Ambulans Prihatin melalui Pertubuhan Doktor Prihatin bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital atau klinik pakar.

Pertubuhan itu juga menawarkan perkhidmatan mengambil sampel darah bergerak untuk kemudahan pesakit terlantar, tanpa perlu pergi ke hospital.

“Perkhidmatan ini mampu mengurangkan kesesakan di hospital, malah pesakit tidak perlu menunggu masa lama semata-mata hanya mahu membuat ujian darah bagi tujuan rawatan susulan.

“Kami akan bantu mengambil sampel darah di rumah dan hantar ke makmal hospital yang merawat pesakit. Mereka hanya perlu hadir berjumpa doktor pakar untuk menilai keputusan ujian darah dan rawatan susulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

DR. Mohammed Hazimi Abdul Razak ketika memberi rawatan kepada salah seorang pesakit.

Projek kebajikan tanpa keuntungan itu dapat mengurangkan bebanan keluarga dari segi masa, kos dan tenaga terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan.

Keutamaan pesakit yang diberikan perkhidmatan itu ialah pesakit terlantar, pasca pembedahan, keretakan atau patah tulang yang tidak mampu bergerak.

Dr. Mohammed Hazimi berkata, antara perkhidmatan lain yang diberikan ialah rawatan dan konsultasi kesihatan dari rumah, selain penjagaan pesakit seperti pembersihan luka, menukar tiub urin dan saluran makanan bagi pesakit di rumah secara percuma.

Katanya, walaupun hanya memiliki sebuah ambulans dengan bantuan dua orang pembantu jururawat dan pemandu, pasukannya mampu membantu sehingga 25 kes sebulan sejak beroperasi pada Februari 2022 di kawasan sekitar Semenyih, Kajang, Bandar Baru Bangi, Bangi, Broga, Beranang dan Lenggeng.

Setakat akhir tahun lalu, sebanyak 595 pesakit pelbagai kaum telah dibantu dengan pesakit Melayu teramai sebanyak 365 pesakit, Cina (144 orang), India (81 orang) dan lain-lain (15 orang).

Usaha Murni Dr. Mohammed Hazimiitu melayakkan beliau menerima Anugerah My Hero 4.0 pada awal tahun ini anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara.

Anugerah itu sebagai penghargaan kepada `hero tidak didendang’ yang berjasa dalam menggalakkan keharmonian kaum dan perpaduan negara melalui khidmat komuniti tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

“Ambulans Prihatin telah bantu semua kaum dari segi bantuan kesihatan. Usaha mobile blood taking membantu memudahkan pesakit terlantar tanpa mengira latar belakang mereka.

“Usaha kami lakukan ini atas dasar kebajikan dan keikhlasan membantu, setakat ini boleh saya katakan tiada bantuan kesihatan seperti Ambulans Prihatin yang ada di negara ini. Kami harap ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam memperluaskan khidmat ini, beliau berhasrat menambah sebuah lagi Ambulans Prihatin dan pasukan perubatan dan cuba mendapat sokongan daripada pihak kementerian berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, namun masih belum mendapat jawapan.

Justeru, beliau mengajak mana-mana pihak yang mahu membantu menjayakan projek dan usaha murni berkenaan sama ada melalui sumbangan sebuah kenderaan kecil atau bantuan berbentuk kewangan boleh disalurkan melalui Pertubuhan Doktor Prihatin atas akaun Bank Islam 12195010023720 atau boleh dihubungi di talian 017-6251858. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×