GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mahu wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini memperjuangkan isu penerokaan hutan terutama aktiviti pembakalan di hulu Kelantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Johan Anjang, 40, berkata, sebagai kumpulan yang dekat dengan alam semula jadi, perasaannya bertukar sedih apabila melihat air sungai terutamanya di kawasan perkampungan kini semakin keruh.
“Walaupun ada yang mendakwa pembalakan bukanlah punca utama kejadian banjir, namun kita melihat banyak sisa balak yang ditebang hanyut bersama sisa lumpur.
“Kita berharap kerajaan negeri dapat menjaga alam sekitar dengan baik dan mengurangkan kelulusan tanah hutan,” katanya.
Johan berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Kelantan mengurangkan kebergantungan hasil negeri melalui aktiviti pembalakan.
Katanya, Kelantan mempunyai pelbagai hasil mahsul yang mampu menjana pendapatan jika diurus tadbir dengan baik.
Sementara itu, Ali Misbun, 47, pula berkata, aktiviti pembalakan sudah lama berlaku di kawasan perkampungan Orang Asli dan kerajaan harus beralih untuk cari sumber lain bagi memajukan negeri.
Katanya, papan tanda yang tertulis ‘Anok Kelate, Saye Hute’ sudah tidak relevan pada masa ini.
“Pihak Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Hutan perlu kerap menjalankan operasi terutamanya di kawasan hulu apabila aktiviti pembangunan ladang kerap berlaku berhampiran sungai.
“Kami merasakan apa yang berlaku di kawasan hulu Kelantan sekarang ini adalah pembangunan tanah yang tidak terkawal dan kerajaan harus mengatasinya,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan mengakui sebanyak 48 permohonan penerokaan tanah hutan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, jumlah itu tidak sebanyak 54 permohonan seperti dibangkitkan oleh Barisan Nasional (BN) Gua Musang.
Menurutnya, isu tersebut tidak tepat dan segala permohonan projek berkait pembangunan ladang itu dibuat mengikut prosedur termasuk proses Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). – UTUSAN











