Penguatkuasa PBT tiada kepakaran tangkap haiwan berbahaya - Utusan Malaysia

Penguatkuasa PBT tiada kepakaran tangkap haiwan berbahaya

PBT haiwan
NG SUEE LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini tidak dilatih untuk melakukan kerja-kerja penangkapan haiwan berbahaya dan berbisa, sebaliknya tugas itu diserahkan kepada pasukan bomba atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, justeru PBT di negeri ini tidak mempunyai perancangan untuk melakukan operasi berskala besar bagi mengenal pasti kedudukan haiwan sedemikian seperti yang ditemukan di Shah Alam, malam tadi.

“Anggota PBT tidak mempunyai kepakaran untuk menangkap ular. Hanya bomba dan anggota APM yang mempunyai kepakaran itu. Anggota PBT hanya mempunyai kepakaran untuk menangkap anjing dan kucing sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan PBT, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penduduk Seksyen 20, di sini gempar dengan penemuan kira-kira 29 ekor ular sawa di sebuah saluran longkang, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Timbalan Penguasa Ahmad Nazmi Halil memaklumkan, semasa kejadian berlaku, kesemua ular tersebut dipercayai ingin keluar dari saluran berkenaan yang dipercayai menjadi sarangnya.

Dalam pada itu, Suee Lim memaklumkan sekiranya terdapat aduan diterima oleh PBT berhubung kewujudan haiwan berbahaya dan berbisa, laporan kepada Bomba atau APM akan terus dibuat.

“Syabas saya ucapkan kepada bomba Selangor kerana cepat bertindak menangkap kesemua ular itu. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku sekiranya kesemua ular tersebut keluar dari sarangnya itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×