KUANTAN: Pekerja sebuah syarikat pembersihan warganegara Bangladesh mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barangan larangan import.
Tertuduh, Md. Alim Hossain Bappi, 42, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai dalam milikan barang-barang larangan import berupa 400 paket rokok jenama Millionaire Filter King dan 490 paket rokok jenama Zon King International yang dianggarkan bernilai RM1,424.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Julai lalu pukul 11.30 pagi di sebuah asrama pekerja di Kawasan Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Jalan Gebeng Bypass di sini.
Bapa seorang anak itu justeru itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau yang mana lebih tinggi, sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Nurhafizah Ahmad yang tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh seorang warga asing dan dikhuatiri akan melarikan diri.
“Namun jika pihak mahkamah ingin menggunakan budi bicara dengan menawarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri Ke JKDM pada hari Isnin minggu pertama setiap bulan di Pejabat Kastam Jalan Bank,” katanya.
Tertuduh yang tidak mewakili peguam memaklumkan tidak mempunyai mana-mana pihak untuk ikat jamin selain perlu menyara seorang ibu, isteri dan seorang anak yang berada di Bangladesh dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 sebulan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia beserta syarat tambahan sebagai mana diminta pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 5 September sebagai tarikh sebutan semula dan kehadirian jurubahasa. – UTUSAN










