MELAKA: Empat ahli sindiket along termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat terhadap harta milik keluarga peminjam wang, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Amir Suhaimi, 18; Musmuliadi Suhaimi, 43, dan Putri Noviana, 23, mengaku tidak bersalah manakala Ahmad Zamarulhisham Suhaimi, 23, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan lima kertas pertuduhan, Muhammad Amir dan Ahmad Zamarulhisham yang juga adik beradik telah mencapai niat bersama melakukan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna biru dan hijau terhadap pelbagai harta benda milik keluarga peminjam sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,000.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Limbongan Permai, Taman Bukit Rambai, Kampung Telok Bukit Katil, Taman Pantai Emas dan Taman Bukit Tasik Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 11 dan 14 Julai 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sementara itu, Musmuliadi dan Putri Noviana didakwa atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat melakukan khianat bersama kedua beradik tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.
Peguam Nigel Tai yang mewakili Putri Noviana memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya merupakan warga Indonesia yang bekerja sebagai pelayan restoran dan pasportnya disimpan majikan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan kepada Muhammad Amir dan Musmuliadi manakala Putri Noviana tidak diberikan jaminan. – UTUSAN










