Culik Jia Hui: Win Son turut didakwa miliki patung gambar bogel, alat sulit wanita palsu - Utusan Malaysia

Culik Jia Hui: Win Son turut didakwa miliki patung gambar bogel, alat sulit wanita palsu

LEANG Win Son mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai terhadap tujuh pertuduhan memiliki patung gambar kanak-kanak bogel dan alat sulit wanita palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Penganggur yang didakwa menculik Albertine Leo Jia Hui di Iskandar Puteri bulan lalu berdepan tujuh pertuduhan lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki bahan lucah termasuk melibatkan kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Leang Win Son, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Win Son didakwa memiliki bantal panjang bergambar kanak-kanak perempuan berbogel, bantal panjang bergambar kanak-kanak berseluar pendek dan  alat sulit palsu wanita di kediaman keluarganya di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai, dekat sini pada pukul 4 petang, 24 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin mencadangkan kepada mahkamah jumlah jaminan sebanyak RM21,000 atas semua kesalahan berkenaan.

Namun, peguam bela tertuduh, Nur Zafirah Norizan meminta mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh tidak bekerja dan ditanggung sepenuhnya oleh ibunya yang berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua  pertuduhan dan tarikh 10 September depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana menculik, mengurung secara salah dan amang seksual selain memiliki bahan lucah.

Win Son ditahan bersama-sama Jia Hui pada 23 Julai selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×